Informasi ini kami dapatkan sumbernya dari salah satu Webb malaysia. Bukan dari CHC. Tetapi semoga tidak mengurangi manfaat informasi yang pembaca perlukan mengenai Hukum lintah, perniagaan lintah, hukum hasil olahan lintah dll. Semoga bermanfaat....
Author Topic: Hukum Penternakan dan
Menggunakan Minyak Lintah (Read 4298 times)
0
Halaqian and 1 Guest are viewing this topic.


- Posts:
1
·
03 February, 2010, 04:47:41 PM

Keliru .....apakah hukum perniagaan,perternakan lintah,,,,ada berpendapat ianya
haram...tp....tak pasti...ada dalil tak...ada sesapa dapat terangkan tak...tq
« Last
Edit: 11 July, 2010, 01:19:21 PM by Ummi Munaliza »
Logged


- Posts:
14508
- Anniversary
Ke 30
·
Hukum Lintah
Jawatankuasa Fatwa Negeri Kedah memutuskan bahawa hukum menternak lintah
untuk tujuan perniagaan adalah harus. Walau bagaimanapun hukum memakan lintah
adalah haram sama ada secara langsung atau melalui suntikan. Namun jika dibuat
minyak atau seumpamanya untuk kegunaan luaran sahaja hukumnya adalah harus
(ruj. Al-Dumairiy, Hayat al-Hayawan 74)
Melalui laman al-ahkam.net pula, Hukum lintah (leech family): samada najis atau
suci tidak dapat dipastikan dan ia tertakluk kepada kaedah fiqh yg masyhur:
al-Asyl fii al-asy-ya al-ibahah (hukum asal bagi segala sesuatu yg diciptakan
adalah harus). Al-Imam Syed Ridha dalam tafsir al-Manar ketika mentafsir ayat
al-Baqarah: 29 (Dialah yang menjadikan segala yang ada di bumi untuk kamu)
berkata, harus mengambil manfaat dari segala ciptaan Allah untuk dijadikan
bahan makanan, minuman, pakaian, kenderaan, perhiasan dan juga PERUBATAN.
(Tafsir al-Manar (1/247), juga kata al-Amir alSyun’ani, “sebenarnya asal segala
sesuatu adalah suci dan pengharamannya tidak semestinya ia najis.” (subulus
Salam, 1/49). Kata Syaikhul Islam Abul Abbas Ibn Taymiyah alharani alsalafi,
“asal segala sesuatu di muka bumi dgn kepelbagaian jenis dan sifat adalah suci
dan halal secara mutlak, tidak diharamkan kepada manusia memakai, mengguna atau
menyentuhnya.” [Majmu’ Fatawa 21/535)
Tambahan pulak lintah walapun tidak pernah dijadikan makanan manusia, tapi
sudah sekian lama digunakan dalam perubatan, terutama di Barat sebagai terapi
pembuangan darah dan toksin dari pesakit dengan menggunakan lintah hidup. Maka
lintah telah terbukti mempunyai nilai perubatan di sisi manusia. Maka jika
terbukti lintah mempunyai nilai perubatan, boleh diternak dan dimanfaatkan dan
ia adalah halal.
Namun, tidak dapat dielakkan, menjual lintah hidup2 adalah berkait dengan hukum
najasah (mengikut mazhab syafie). Jika memandang kpd kenajisannya, maka berjual
beli dengannya adalah haram. Tetapi jika menurut mazhab Hanafi, dengan
memandang kepada manfaatnya, maka harus ia dijualbeli.
Ada juga pendapat mengatakan hukum menjual lintah hidup sama seperti menjual
ular sawa, katak dan biawak kepada orang yang tahu memanfaatkannya. namun jika
diketahui tujuannya adalah untuk dimakan, maka tidak harus menjualnya kepada
orang Islam, kerana memakannya adalah haram. Mengikut kaedah apa yang membawa
kepada haram adalah haram.
Jika digunakan untuk tujuan yang harus seperti perhiasan, ubat sapu dan lain
lain maka haruslah dijual dengan syarat ia hendaklah memaklumkan hukum
kenajisan haiwan itu, supaya ia dapat berlepas diri daripada sebarang akibat
yang tidak baik di kemudian hari.. Ya, hukumnya kekal harus selagi tidak
menimbulkan mudarat kepada penggunanya. Jika ia boleh mendatangkan kesan
mudarat, maka berubahlah hukumnya kepada haram. Tetapi jika mudarat itu hanya
menimpa seseorang tertentu, dan tidak kepada orang yang lain. Maka yang haram
hanya ke atas orang yang terkena mudarat sahaja.
Logged
Pengurusan, Pentadbiran Forum Halaqahnet.
Penal
Utama Baitul Muslim


- Posts:
1565
·
Namun, tidak dapat dielakkan,
menjual lintah hidup2 adalah berkait dengan hukum najasah (mengikut mazhab
syafie). Jika memandang kpd kenajisannya, maka berjual beli dengannya adalah
haram. Tetapi jika menurut mazhab Hanafi, dengan memandang kepada manfaatnya,
maka harus ia dijualbeli.
Kenapa lintah dikatakan najis?
Jika digunakan untuk tujuan yang
harus seperti perhiasan, ubat sapu dan lain lain maka haruslah dijual
dengan syarat ia hendaklah memaklumkan hukum kenajisan haiwan itu, supaya ia
dapat berlepas diri daripada sebarang akibat yang tidak baik di kemudian hari..
Satu lagi persoalan... dibolehkan ke buat binatang (bangkai) yang diawet
sebagai perhiasan? atau apa2 bahagian badan haiwan seperti tengkorak, tanduk,
gading dan sebagainya?
Logged
~ Begin
with the End in Mind ~


- Posts:
14508
- Anniversary
Ke 30
·
Hukum Hakam Mengenai Lintah Bab 1
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين ,
أما بعد
LINTAH (العَلَقُ)
MUKADIMAH
بسم الله الرحمن الرحيم
اَلحَمْدُ لله الَّذِي أَرْسَلَ رَسُولَهُ بِالهُدَى وِدِيْنِ الحَقِّ
لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَكَفَى بِاللهِ شَهِيْدًا، أَشْهَدُ أَنْ
لَا إِلَهَ إِلَّا الله وَحدَهُ لَا شَرِيْكَ لَه، لاَ رَبَّ غَيْرُهُ وَلَا
مَعْبُودَ سِوَاهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُولُه
وَمُصْطَفَاه، أَرْسَلَهُ رَبُّهُ مُبَشِّرًا وَنَذِيْرًا، وَدَاعِيًا إِلَى اللهِ
بِإِذْنِهِ وَسِرَاجًا مُنِيْرًا.
اللَّهُّمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ
وَأَصْحَابِهِ الَّذِيْنَ تَرَكُوا دِيَارَهُم وَأَمْوَالَهُم فِرَارًا
بِدِيْنِهِم وَصَوْناً لِأَرْوَاحِهِم. فصَانَهُم اللهُ وأَعَزَّ دِيْنَهُم.
أَمَّا بَعْدُ،
Ini merupakan perbahasan ringkas yang disediakan untuk Jabatan Mufti Negeri
Kedah berhubung persoalan mengenai lintah. Bahas ini disediakan untuk
memberikan rujukan dan maklumat berkenaan lintah sama ada pernah diperbahasakan
oleh Ulama terdahulu atau tidak. Disertakan juga maklumat semasa mengenai
lintah untuk memudahkan perbahasan ini difahami.
Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan terima kasih kepada
kepada Sohibus Samahah Dato’ Paduka Syeikh Hasbullah bin Haji Abdul Halim,
Mufti Kerajaan Negeri Kedah yang telah memberi kepercayaan dan mendidik kami
untuk menyiapkan perbahasan ini. Penghargaan yang sama buat Ayahanda dan
Kekanda Ustaz Zakaria Othman, Pegawai Kebajikan Anak Kedah Mesir yang banyak
penghubung di antara penuntut ilmu di Mesir dengan tokoh-tokoh Ulama serta
cendekiawan Malaysia terutama di Negeri Kedah demi memberikan pendedahan kepada
anak-anak Kedah di perantauan sebelum turun ke medan sebenar. Penghargaan yang
sama tidak lupa ditujukan buat Ustazah Faridah binti Ahmad, Pegawai Penyelidik
Jabatan Mufti Negeri Kedah serta semua Ahli Jawatan Kuasa Fatwa Negeri Kedah,
secara khususnya buat yang berbahagia Dato’ Syeikh Abd Hamid Tahir dan Yang
Berbahagia Syeikh Fadhil Awang yang merupakan guru yang pernah mendidik kami di
Maahad Mahmud satu masa dahulu. Dorongan, bimbingan serta semangat yang
sentiasa diberikan diucapkan jutaan terima kasih.
Semestinya bahas ini terlonggok seribu satu kekurangan. Mohon agar
diperbetulkan. Apa yang baik diharap dapat dikongsi bersama. Semoga segala apa
yang dilakukan mampu menjadi pemberat timbangan kebaikan di akhirat nanti.
Disediakan oleh
Muhammad Aidil Azwal Zainudin
Universiti Al-Azhar
Isyak malam Asyura’ 10 Muharam 1439 H – 6 Jan 2009
7 malam, Madinah Nasr
BAB PERTAMA
DEFINISI LINTAH DAN KEISTIMEWAAN LINTAH
Definisi Ulama Silam:
Imam Dumairi: “Cacing hitam atau merah yang berada di dalam air. Bergantung di
atas badan dan menghisap darah. Ia merupakan ubat tekak dan bengkak berdarah
kerana ia menghisap darah yang berlebihan pada manusia.[1]
Al-Lihyani: “Cacing hitam yang berada di dalam air”.[2]
Al-Azhari: “Binatang yang berada di dalam air. Ia dipanggil a’laq kerana merah
seperti darah”.[3]
Ibn Athir: “Binatang kecil berwarna merah berada di dalam air. Bergantung di
badan dan menghisap darah.... [4]
Ibn Abi Syaibah al-Khufi: “Cacing kecil bergantung di tempat bengkak lalu
menghisap darah beku yang memenuhi. Jika telah penuh mulutnya dengan darah ia
akan membesar dan gugur. Jika seekor lintah tidak mencukupi untuk menghisap
darah yang memenuhi kawasan bengkak maka akan ditambah lintah lain” [5]
Definisi Moden:
Lintah: Sejenis binatang dalam kelas Hirudinea, rupanya seperti pacat tetapi
lebih besar.[6]
Pacat: Sejenis binatang penghisap darah (Lintah di darat). Haemadipsa javanica.
[7]
Maksud Hirudin: (Ubat) bahan anti gumpal yg di ekstrak daripada kelenjar mulut
lintah
Definisi di antara Ulama silam dan definisi moden tidak terlalu beza. Hanya apa
yang diterangkan di dalam Kamus Dewan mampu menjelaskan kenapa lintah dijadikan
nilai komersial berbanding pacat.
Keistimewaan Lintah
1) Air liur lintah mempunyai bahan bius, bahan anti pembekuan darah dan bahan
kimia yang membantu penghasilan bahan kimia melalui tisu setempat.
2) Lintah mempunyai bacterium Aeromonan hydrophila. Bakteria ini digunakan oleh
lintah untuk mencerna darah dan ia sebenarnya menghasilkan bahan antibiotik
untuk membunuh bakteria lain yang mungkin menyebabkan darah yang dihisap tadi
membusuk atau membeku.
3) Terdapat lebih daripada 18 bahan aktif biologi yang dikeluarkan daripada
lintah bermanfaat di dalam bidang perubatan.
BAB KEDUA
HUKUM HAKAM BERKAITAN LINTAH
Di dalam Bab ini terdapat 5 perbahasan seperti berikut;
1) Penternakan Lintah
2) Perniagaan Lintah
3) Perubatan menggunakan Lintah
4) Makanan daripada Lintah
5) Kosmetik daripada Lintah
Artikel ini saya ambil dari Laman Blog Tahu, Faham dan Amal.
Logged


- Posts:
14508
- Anniversary
Ke 30
·
PERBAHASAN PERTAMA
PERTERNAKAN LINTAH
Perbahasan di sini adalah seumpama berikut;
1) Apa itu lintah
2) Jenis-jenis Lintah
3) Tujuan lintah diternak
4) Hukum menternak
4.1 Menternak haiwan dimakan dagingnya
4.2 Menternak haiwan yang tidak dimakan dagingnya seumpama lintah
5) Hukum menternak haiwan mengikut piawaian tertentu
6) Kesimpulan perbahasan
Apa itu Lintah?
Lintah merupakan kategori binatang hermafrodit iaitu mempunyai organ jantan dan
betina. Walau pun begitu, ia tidak boleh membiak secara sendiri tetapi perlu
mengawan dengan lintah lain untuk membiak. Ia boleh mengawan dengan mana-mana
lintah lain. Proses pembiakan lintah menjadi mudah bagi penternak kerana tidak
perlu membeli dua induk berasingan jantan dan betina untuk disenyawakan.
Lintah digolongkan di dalam kumpulan cacing tanah atau di dalam bahasa
biologinya Filum Annelida (cacing bersegmen) akan tetapi pergerakan lintah
lebih laju daripada cacing. Lintah merupakan haiwan penghisap darah. Selepas
menghisap darah sehingga kenyang, ia akan mencari tempat yang gelap untuk
menghadamkan makanannya. Tempoh penghadamannya agak panjang dan mampu bertahan
sehingga berbulan-bulan setelah mendapat makanan.
Kebanyakan lintah merupakan hidupan air tawar akan tetapi ada juga yang hidup
di darat. Lintah yang hidup di darat biasanya boleh didapati di hutan hujan
tropika. Lintah jenis ini tidak tahu berenang akan tetapi mampu bertahan lama
sekiranya tenggelam. Di kawasan yang panas dan kering, lintah akan bersembunyi
di dalam tanah atau di tempat yang lembap supaya ia dapat bertahan dan hidup
lebih lama. Dalam keadaan ini badannya akan menjadi kering dan mengecut dan ia
tidak mampu menyedut darah. Dalam masa 10 minit sekiranya ia terkena percikan
air ia akan kembali aktif. Lintah yang hidup di dalam air pula lebih suka air
yang tenang atau pun yang mengalir perlahan dan tidak tercemar. Akan tetapi ada
juga jenis yang hidup di dalam air yang deras.
Fakta-fakta lain berkenaan lintah;
1) Di dunia terdapat 650 spesies lintah yang tinggal di kawasan paya, kolam,
laut dan kawasan berair tetapi hanya satu jenis sahaja yang digunakan dalam
industri perubatan farmaseutikal iaitu “hirudo medicinalis” atau lebih dikenali
sebagai lintah sawah. Jenis ini yang diternak oleh pengusaha. Perubatan
menggunakan lintah dinamakan “Hirudo therapy”.
2) Lintah terbesar dijumpai berukuran 18 inci
3) Kira-kira 1/5 dari spesies lintah hidup di laut yang memakan ikan
4) Lintah mempunyai 32 otak iaitu 31 lebih dari manusia.
5) Lintah Hirudo mengeluarkan anak dalam kokun di mana lintah itu membawa
anak-anaknya di atas perut sendiri. Kadangkala mencapai sebanyak 300 ekor.
6) Tidak semua lintah adalah penghisap darah, kebanyakannya adalah pemburu yang
memakan cacing tanah dan lain-lain.
7) Lintah Amazon menggunakan kaedah yang berlainan untuk menghisap darah. Ia
memasukkan probosis (seperti belalai) panjang ke dalam mangsa tanpa
menggigitnya.
8) Gigitan lintah tidak menyakitkan kerana mempunyai bahan bius.
9) Lintah Hirudin menyuntik anti pembekuan serum ke dalam mangsanya untuk
mengelakkan pembekuan darah
10) Lintah akan mengembang sendiri sehingga kenyang apabila menghisap darah dan
jatuh dari mangsa dengan sendiri.
11) Lintah akan mengembang sendiri sehingga 5 kali berat badannya
12) Pada masa lampau, orang ramai akan berdiri di tepi tasik dan kolam, bila
lintah melekat pada kaki mereka, ia dimasukkan dalam bakul untuk dijual. Pada
masa kini, lintah Hirudo merupakan spesies terancam
13) Pakar bedah yang asal adalah seorang tukang dan mereka menggunakan lintah
untuk memulihkan apa sahaja penyakit bermula dari sakit kepala ke penyakit gaut
14) Sistem saraf lintah mempunyai banyak persamaan dengan sistem saraf manusia
15) Lintah boleh menggigit walaupun pada paha badak air yang tebal.
Zaman dahulu lintah ditangkap dengan cara yang menggelikan. Seorang akan masuk
ke dalam air yang mempunyai lintah dan dibiarkan untuk melekat ke kakinya.
Dengan menggunakan kaedah tersebut seseorang boleh menangkap 2000 ribu ekor
sehari. Apabila mendapati permintaan lintah semakin tinggi dan lintah semakin
berkurangan, maka manusia mula memikirkan untuk menternak lintah.
Berdasarkan sejarah, Perancis dan Jerman merupakan yang pertama mempelopori
penternakan lintah secara sistematik untuk di jual kepada pihak tertentu.
Dahulu mereka memberi lintah minum darah kuda dengan cara dilepaskan kuda ke
dalam kolam lintah.
Rusia memberikan lintah memakan darah segar lembu tenusu. Memberi makan lintah
merupakan satu kesukaran kerana ia kategori drakula yang tidak akan makan
kecuali menghisap langsung darah daripada mangsa.
Jenis-jenis lintah
Lintah dibezakan kategorinya berdasarkan cara ia makan. Terdapat tiga jenis
lintah di dunia ini;
1) Gnatbobdellida- Lintah berahang. Mereka menggigit mangsa dengan rahang ini.
Sejenis cecair yang dinamakan hirudin dihasilkan daripada sel-sel hidup dan
bertindak sebagai cecair anti-kental. Ia amat berbeza daripada pacat.
2) Rhyncobdellida- Mempunyai bahagian umpama jarum (probosis). Lintah jenis ini
memasukkan jarum yang agak menonjol seperti belalai ke dalam mangsa dan
mengeluarkan enzim hematin[8] bagi melenyapkan pembekuan selepas terbentuk
3) Pharyngobdellida- Tidak berahang atau gigi. Hanya menelan mangsa. Bahan
makanan spesies ini terdiri daripada serangga kecil.
Lintah yang diternak untuk tujuan perubatan kebanyakannya terdiri dari kumpulan
Gnatbobdellida dan Rhyncobdellida. Terdapat 650 spesies lintah yang ditemui di
dunia tetapi hanya 15 sahaja yang sesuai untuk digunakan di dalam perubatan.
Adapun di Malaysia hanya terdapat 6 jenis yang dikenal pasti boleh digunakan
untuk tujuan perubatan. Hanya dua jenis lintah yang diternak iaitu lintah perut
hijau dan lintah perut perang/coklat. Lintah hijau lebih gemar diternak kerana
kualitinya.
Berkata Dr Zaleha Kassim[9] – Pensyarah Kanan Institut Akuakultur Tropika
Universiti Malaysia Terengganu- : “Lintah telah lama digunakan dalam rawatan
kesihatan di negara ini yang menyaksikan haiwan itu diadun dengan santan kelapa
bagi mendapatkan minyaknya yang digunakan untuk kesihatan seksual lelaki selain
membaik pulih tisu dan memperkuatkan otot”.
“Lintah yang hidup dan diternak di Malaysia mungkin tidak sama dengan yang
terdapat di negara Barat dan kajian setakat ini menunjukkan terdapat enam jenis
lintah di Malaysia”.
Dr Zaleha juga berkata bahan yang terdapat dalam lintah juga boleh digunakan
untuk mengeluarkan produk kosmetik dan industri ini wujud antaranya di negara
China, Thailand dan kini di Korea Selatan.
"Krim yang dibuat berasaskan lintah turut digunakan untuk menegangkan
kulit dan membaiki parut," katanya.
Tujuan Lintah diternak
Mendapatkan saliva lintah yang mengandungi lebih 100 kandungan bioactive yang boleh
menyembuhkan pelbagai penyakit.
Sukar mendapatkan lintah liar kerana banyak bahan kimia di sungai-sungai dan
penggunaan mesin-mesin bajak di sawah menjadikan binatang ini diancam
kepupusan.
Digunakan di dalam industri makanan, perubatan dan kosmetik.
Alternatif kepada dadah sintetik dalam perubatan yang memberikan kesan
sampingan.
Penternakan lintah yang dilakukan pada hari ini demi tujuan komersial untuk
disalurkan kepada pihak yang memerlukan. Sehingga hari ini kajian mendapati
lintah boleh dimanfaatkan di dalam bidang perubatan. Oleh sebab itu, di barat
lintah digelar “magical doctor”. Penternakan lintah secara komersial menuntut
para penternak mengikut piawai tertentu kepada bahan yang akan diperdagangkan.
Penternakan yang dilakukan mesti mengikuti garis panduan, mutu, kualiti yang
ditetapkan agar hasil ternakan menepati keinginan pelanggan.
http://jomfaham.blogspot.com/2009/01/hukum-hakam-mengenai-lintah-bab-1.html
Logged


- Posts:
14508
- Anniversary
Ke 30
·
Hukum Hakam Mengenai Lintah Bab 2
Hukum Menternak
Ternakan Haiwan yang Dimakan dagingnya
Penternakan: Perihal memelihara dan membiakkan binatang, pemeliharaan dan
pembiakan binatang.[10]
Terdapat terlalu banyak dalil mengharuskan penternakan sama ada secara
komersial atau tidak jika ternakan itu adalah unta, kambing dan lembu atau
dengan kata lain binatang yang dimanfaatkan dagingnya atau belakangnya[11].
1) Firman Allah Taala[12] pada qiraat[13] lain berkenaan permohonan
saudara-saudara Yusuf kepada Nabi Yaakob untuk membawa Yusuf keluar:
أَرْسِلْهُ مَعَنَا غَدًا يَرْتَعِ وَيَلْعَبُ وَإِنَّا لَهُ
لَحَافِظُونَ
Maksudnya: Biarkan dia pergi bersama-sama kami esok, supaya dia menggembala
binatang ternakan dan dia bermain-main dengan bebasnya; dan Sesungguhnya kami
akan menjaganya dengan sebaik-baiknya".
Keterangan:
Melatih Yusuf untuk menggembala kambing dan menjadi lelaki sejati. Seketika
menggembala seketika bermain kerana masih kanak-kanak. [14]
Berkata Ibn Zaid: Termasuk di dalam maksud menggembala unta;
1) Berlatih menggembala/menternak unta dan menjaga harta atau
2) Memelihara pohon-pohon dan rumput tanah lapang.[15]
2) Firman Allah Taala[16]:
وَلَمَّا وَرَدَ مَاءَ مَدْيَنَ وَجَدَ عَلَيْهِ أُمَّةً مِنَ
النَّاسِ يَسْقُونَ وَوَجَدَ مِنْ دُونِهِمُ امْرَأتَيْنِ تَذُودَانِ قَالَ مَا
خَطْبُكُمَا قَالَتَا لا نَسْقِي حَتَّى يُصْدِرَ الرِّعَاءُ وَأَبُونَا شَيْخٌ
كَبِيرٌ
Maksudnya:
Dan ketika dia sampai di telaga air negeri Madyan, ia dapati di situ sekumpulan
orang-orang lelaki sedang memberi minum (binatang ternak masing-masing), dan ia
juga dapati di sebelah mereka dua perempuan yang sedang menahan
kambing-kambingnya. Dia bertanya: "Apa hal kamu berdua?" mereka
menjawab: "Kami tidak memberi minum (kambing-kambing kami) sehingga
penggembala-penggembala itu membawa balik binatang ternak masing-masing; dan
bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya ".
Keterangan: Nabi Allah Musa juga mengambil upah menternak kambing Nabi Allah
Syuaib. Sebagaimana disebut di dalam ayat 26-27 pada surah yang sama.
3) Firman Allah Taala[17] berkenaan peristiwa penyembelihan Ismail yang diganti
dengan Kibas;
وَفَدَيْنَاهُ بِذِبْحٍ عَظِيمٍ
Maksudnya: Dan kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang
besar;
Keterangan: Berkata Ibn Abbas D: Binatang tersebut ialah kibas yang
dipersembahkan oleh Habil. Dipelihara di dalam syurga sehingga Allah gantikan
sembelihan Ibrahim.[18]
Sebagaimana Al-Bukhari[19] dan Ibn Majah meriwayatkan melalui Abu Hurairah;
عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ t عَنِ النَّبِىِّ Jقَالَ : مَا بَعَثَ
اللَّهُ نَبِيًّا إِلاَّ رَعَى الْغَنَمَ .فَقَالَ أَصْحَابُهُ وَأَنْتَ فَقَالَ
نَعَمْ كُنْتُ أَرْعَاهَا عَلَى قَرَارِيطَ لأَهْلِ مَكَّةَ
Maksudnya: Allah tidak mengutus mana-mana Nabi kecuali akan menjadi penggembala
kambing. Berkata para sahabat: Apakah baginda juga sebegitu? Bersabda Nabi: Ya,
aku menggembala kambing penduduk Makkah dengan bayaran beberapa qirat emas.
Jelas di sini disyariatkan memelihara binatang-binatang ternak bahkan ia
merupakan perbuatan para Nabi-nabi dan Rasul.
Ternakan Haiwan yang tidak dimakan dagingnya
Sebagaimana kita ketahui setiap makhluk berhak hidup melalui tabiinya yang
semula jadi tanpa di ganggu gugat oleh mana-mana pihak. Ada kalanya gangguan
kepada habitat semula jadi bagi sesetengah haiwan merupakan punca kepada
kepupusannya. Segala makhluk Allah berhak bebas hidup di muka bumi sebagaimana
manusia. Ini berdasarkan firman Allah Taala[20];
وَمَا مِنْ دَابَّةٍ فِي الأرْضِ وَلا طَائِرٍ يَطِيرُ
بِجَنَاحَيْهِ إِلا أُمَمٌ أَمْثَالُكُمْ مَا فَرَّطْنَا فِي الْكِتَابِ مِنْ
شَيْءٍ ثُمَّ إِلَى رَبِّهِمْ يُحْشَرُونَ
Maksudnya: Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor
pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat
seperti kamu. tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam Kitab Al-Quran ini;
kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab
dan menerima balasan).
Wajib setiap manusia menghormati semua makhluk ciptaan Allah dan tidak
menyakitinya tanpa hak kecuali kategori yang dibenarkan oleh syarak untuk
membunuhnya kerana menyakiti dan memudaratkan seperti ular, kala jengking,
anjing yang menggigit, helang, gagak, semut, lipas dan lain-lain. Walaupun
begitu membunuh makhluk-makhluk tersebut mestilah dengan rahmat dan adab yang
diajarkan oleh syarak.
Berbaki persoalan untuk dijawab. Adakah penternakan dengan mengurung lintah di
dalam tempat tertentu dibenarkan syarak?
http://jomfaham.blogspot.com/2009/01/hukum-hakam-mengenai-lintah-bab-2.html
Logged


- Posts:
14508
- Anniversary
Ke 30
·
Hukum Hakam Mengenai Lintah Bab 3
Hukum Menternak Lintah
Terdapat 3 kategori haiwan;
1) Harus menternak/memelihara dan mengurungnya dengan syarat memberi makan dan
minum. Lintah termasuk di dalam kategori ini.
Sebagaimana yang diketahui proses menternak lintah memerlukan kolam khas yang
disediakan oleh penternak dan dihimpunkan kadar bilangan tertentu daripada
lintah di dalam kolam tersebut. Pendapat Fuqaha berhubung perkara itu;
-Pendapat Syafieyah dan Hanabilah serta pendapat rajih di sisi Hanafiah dan
Malikiah;
Harus mengurung binatang untuk manfaat seumpama menjaga kebun atau rumah[21]
atau mendengar suaranya[22] atau sebagai perhiasan[23]. Tuan yang mengurung
binatang wajib memberi makan dan minum. Makan minum itu mengambil kedudukan
seumpama binatang itu dibebaskan untuk mencari makan minum sendiri.
Dalil dah hujah yang dipegang oleh mereka;
i) Sabda Nabi sebagaimana Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan;
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ - رضى الله عنهما - أَنَّ
رَسُولَ اللَّهِ J قَالَ : عُذِّبَتِ امْرَأَةٌ فِى هِرَّةٍ سَجَنَتْهَا حَتَّى
مَاتَتْ ، فَدَخَلَتْ فِيهَا النَّارَ ، لاَ هِىَ أَطْعَمَتْهَا وَلاَ سَقَتْهَا
إِذْ حَبَسَتْهَا ، وَلاَ هِىَ تَرَكَتْهَا تَأْكُلُ مِنْ خَشَاشِ الأَرْضِ
Maksudnya: Diazab seorang wanita kerana seekor kucing yang dia kurung sehingga
mati. Wanita itu masuk neraka kerana itu. Dia tidak memberi kucing itu makan
dan minum ketika mengurungnya. Dia juga tidak melepaskan kucing itu untuk
mencari makan daripada binatang yang berada di muka bumi.
Keterangan:
a) Baginda menceritakan kesalahan mengurung tanpa makan dan minum atau
melepaskan untuk mencari makan sendiri. Tidak disebutkan larangan mengurung
kucing di dalam sangkar.
b) Berkata Ibn Hajar: “Dari hadis ini menunjukkan harus memelihara kucing dan
mengikatnya (mengurung) jika penjaga tidak cuai dan membiarkan makan dan
minumnya. Kias kepada perkara itu selain kucing yang seumpama kucing. Kucing
tidak menjadi milik sesiapa hanya sanya wajib memberinya makan kepada yang
mengurungnya. Seumpama itu juga ucapan Al-Qurthubi”[24].
c) Berkata as-Syaukani: “Dapat diambil dalil daripada hadis ini bahawa haram
mengurung kucing dan seumpamanya daripada haiwan tanpa diberi makan dan minum;
kerana perbuatan sebegitu menyakiti makhluk Allah. Syarak melarang perbuatan
tersebut”[25].
ii) Di dalam Hasyiah Qailubi & Umairah;
“Baginya mengurung haiwan walaupun untuk tujuan mendengar suaranya atau
bersuka-suka atau seumpama anjing untuk hajat keperluan, bersama memberinya
makan”[26]
2) Haram menternak/memelihara dan mengurungnya tetapi dibenarkan menternak dan
mengurungnya jika ada hajat dan manfaat. Seumpama anjing pemburu, anjing
penjaga kebun, anjing pelatih yang digunakan oleh polis dan seumpamanya.
*Al-Quran
Firman Allah Taala[27];
يَسْأَلُونَكَ مَاذَا أُحِلَّ لَهُمْ قُلْ أُحِلَّ لَكُمُ
الطَّيِّبَاتُ وَمَا عَلَّمْتُمْ مِنَ الْجَوَارِحِ مُكَلِّبِينَ
تُعَلِّمُونَهُنَّ مِمَّا عَلَّمَكُمُ اللَّهُ فَكُلُوا مِمَّا أَمْسَكْنَ
عَلَيْكُمْ وَاذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَيْهِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ
سَرِيعُ الْحِسَابِ
Maksudnya: Mereka bertanya kepada mu (Wahai Muhammad): "Apakah (makanan)
yang Dihalalkan bagi mereka?" bagi menjawabnya katakanlah:
"Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik, dan (buruan
yang ditangkap oleh) binatang-binatang pemburu yang telah kamu ajar (untuk
berburu) mengikut cara pelatih-pelatih binatang pemburu. kamu mengajar serta
melatihnya (adab peraturan berburu) sebagaimana yang telah diajarkan Allah
kepada kamu. oleh itu makanlah dari apa yang mereka tangkap untuk kamu dan
sebutlah nama Allah atasnya (ketika kamu melepaskannya berburu); dan
bertaqwalah kepada Allah (dengan memelihara diri dari memakan yang diharamkan
Allah); Sesungguhnya Allah Maha cepat hitungan hisabNya"
Keterangan:
Berkata Ibn Jauzi: “Setelah turun ayat ini, Baginda Nabi J membenarkan untuk
memelihara anjing untuk dimanfaatkan dan melarang memelihara anjing yang tidak
memberi manfaat”.[28]
3) Dituntut untuk membunuhnya.
i) Al-Bukhari[29] meriwayatkan;
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ D أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ J قَالَ
: خَمْسٌ مِنَ الدَّوَابِّ مَنْ قَتَلَهُنَّ وَهْوَ مُحْرِمٌ فَلاَ جُنَاحَ
عَلَيْهِ الْعَقْرَبُ ، وَالْفَأْرَةُ ، وَالْكَلْبُ الْعَقُورُ ، وَالْغُرَابُ ،
وَالْحِدَأَةُ
Maksudnya: 5 jenis binatang melata sesiapa yang membunuhnya walaupun ketika
ihram, tidak mengapa; Kala jengking, tikus, anjing menggigit, gagak dan burung
helang.
Sebahagian riwayat menggantikan kala jengking dengan ular. Ada riwayat menambah
harimau dan serigala.
Ulama mengatakan semua binatang ini disunatkan untuk dibunuh jika memberi
menyakiti manusia. Adapun kepada binatang yang memberi manfaat dan mudarat
diharuskan untuk dibunuh. Sedemikian dikiaskan kepada binatang selain
disebutkan baginda J.[30]
ii) Baginda juga sentiasa berdoa agar dipelihara daripada gangguan binatang
kategori ini.
Sabda Nabi sebagaimana at-Tabrani meriwayatkan di dalam al-Mu’jam al-Ausat;
Maksudnya: Sesungguhnya Nabi sentiasa membacakan doa untuk Hasan dan Husin
dengan ucapan baginda: Aku memohon perlindungan untuk kamu berdua dengan
kalimah Allah yang sempurna daripada setiap syaitan dan binatang merayap @
beracun, dari setiap mata yang hasad.
Hukum menternak mengikut piawai tertentu
Melaksanakan apa-apa tugas sebaik-baik mungkin merupakan salah satu di antara
ajaran Islam. Sejarah membuktikan umat yang mendukung agama ini adalah yang
terbaik di kalangan yang terbaik sehingga mampu menawan dunia dan menyebarkan
agama ke seluruh dunia.
Gerak kerja bersistematik, berkualiti, bermutu dan sebagainya merupakan
ciri-ciri umat Islam yang diinginkan oleh syarak.
*Al-Quran
i) Firman Allah Taala[31];
لِلَّذِينَ أَحْسَنُوا الْحُسْنَى وَزِيَادَةٌ وَلا يَرْهَقُ
وُجُوهَهُمْ قَتَرٌ وَلا ذِلَّةٌ أُولَئِكَ أَصْحَابُ الْجَنَّةِ هُمْ فِيهَا
خَالِدُونَ
Maksudnya: Untuk orang-orang yang berusaha menjadikan amalnya baik dikurniakan
segala kebaikan serta satu tambahan yang mulia dan air muka mereka pula
(berseri-seri) tidak diliputi oleh sebarang kesedihan dan kehinaan. mereka
itulah ahli syurga, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya.
ii) Firman Allah Taala[32];
وَأَنْفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ
إِلَى التَّهْلُكَةِ وَأَحْسِنُوا إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ
Maksudnya: Dan belanjakanlah (Apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) ugama
Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya
kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala
usaha dan) perbuatan kamu; kerana Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang
berusaha memperbaiki amalannya.
iii) Firman Allah Taala[33];
هَلْ جَزَاءُ الإحْسَانِ إِلا الإحْسَانُ
Maksudnya: Bukankah tidak ada balasan bagi amal yang baik - melainkan balasan
yang baik juga?
iv) Firman Allah Taala[34];
اللَّهُ الَّذِي جَعَلَ لَكُمُ الأرْضَ قَرَارًا وَالسَّمَاءَ
بِنَاءً وَصَوَّرَكُمْ فَأَحْسَنَ صُوَرَكُمْ وَرَزَقَكُمْ مِنَ الطَّيِّبَاتِ
ذَلِكُمُ اللَّهُ رَبُّكُمْ فَتَبَارَكَ اللَّهُ رَبُّ الْعَالَمِينَ
Maksudnya: Allah yang menjadikan bumi sebagai tempat penetapan untuk kamu, dan
langit sebagai bumbung yang kukuh binaannya; dan ia membentuk kamu lalu
memperelokkan rupa kamu, serta dikurniakan kepada kamu dari benda-benda yang
baik lagi halal. Yang demikian (kekuasaanNya dan kemurahanNya) ialah Allah
Tuhan kamu; maka nyatalah kelebihan dan kemurahan Allah, Tuhan sekalian alam.
v) Firman Allah Taala[35];
الَّذِي أَحْسَنَ كُلَّ شَيْءٍ خَلَقَهُ وَبَدَأَ خَلْقَ
الإنْسَانِ مِنْ طِينٍ
Maksudnya:
Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dengan sebaik-baiknya, dan dimulakanNya
kejadian manusia berasal dari tanah;
Keterangan: Kesemua ayat di atas menerangkan tentang keutamaan melakukan semua
perkara dengan sebaik-baik mungkin serta ganjaran kepada golongan tersebut.
*Al-Hadis
i) Sebagaimana Al-Baihaqi[36] meriwayatkan melalui Aisyah;
عَنْ عَائِشَةَg ، أَنّ النَّبِيَّ J قَالَ : إِنَّ اللَّهَ
يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلا أَنْ يُتْقِنَهُ
Maksudnya: Sesungguhnya Allah kasih, jika seseorang melakukan sesuatu pekerjaan
dia melakukan dengan sebaik-baiknya.
Keterangan: Maksud “itqan” adalah melakukan sesuatu pekerjaan sesempurna
mungkin demi manfaat makhluk Allah yang lain, bukan disebabkan upah yang diberi
atau selainnya. Melengkapkan pekerjaan berdasarkan hak pekerjaan itu wajib
disempurnakan. Ini juga membawa pengertian ikhlas yang diinginkan oleh syarak.
Tidak melakukan sesuatu kecuali kerana Allah Taala, melakukan segala pekerjaan
dengan penuh amanah dan dedikasi kerana itu merupakan perintah Allah. Mereka
yang ikhlas dan benar-benar ingin mendekatkan diri kepada Allah nescaya akan
menjalankan segala pekerjaan mengikut piawai yang telah ditetapkan. Setiap
individu yang melakukan sesuatu pekerjaan dengan lebih baik, maka ganjaran
pahala akan bertambah di sisi Allah[37]
Kesimpulan Perbahasan
1) Halal menternak apa sahaja haiwan yang memberi manfaat kepada manusia.
2) Wajib memberi makan dan minum dengan sempurna kepada binatang yang diternak
jika tidak dilepaskan ia untuk mencari makanan sendiri.
3) Menternak mengikut piawai tertentu merupakan tuntutan syarak dan ruh syariat
Islam itu sendiri.
http://jomfaham.blogspot.com/2009/01/hukum-hakam-mengenai-lintah-bab-3.html
Logged


- Posts:
14508
- Anniversary
Ke 30
·
Hukum Hakam Mengenai Lintah Bab 4
PERBAHASAN KEDUA
PERNIAGAAN LINTAH
Perbahasan di sini adalah seumpama berikut;
1) Falsafah Perniagaan di dalam Islam
2) Hukum perniagaan Binatang dan Serangga
3) Perniagaan Lintah dan Pendapat Fuqaha
3.1 Dalil mazhab yang membenarkan
3.2 Dalil mazhab yang melarang
4) Kesimpulan Perbahasan
Falsafah Perniagaan di dalam Islam
Firman Allah Taala:
كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ وَلا تَطْغَوْا
فِيهِ فَيَحِلَّ عَلَيْكُمْ غَضَبِي وَمَنْ يَحْلِلْ عَلَيْهِ غَضَبِي فَقَدْ
هَوَى
Maksudnya: Serta Kami katakan: makanlah dari benda-benda yang baik yang Kami
kurniakan kepada kamu, dan janganlah kamu melampaui batas padanya, kerana
dengan yang demikian kamu akan ditimpa kemurkaanKu; dan sesiapa yang ditimpa
kemurkaanKu, maka sesungguhnya binasalah ia.[38]
Sesungguhnya Allah Taala telah menciptakan manusia dan menjadikan kehidupan
mereka di bumi. Lalu Allah memberikan kesempatan kepada manusia untuk menikmati
segala khazanah yang berada di muka bumi Nya. Demi untuk mengelakkan
perselisihan dan perebutan sesama manusia dalam menikmati segala nikmat Nya,
maka wujud istilah yang dinamakan “hak milik”. Di sini bermula segala perbincangan
jual beli, muamalat, perniagaan dan perekonomian.
Walaupun sedemikian, segala hak milik itu tidak diserahkan secara mutlak kepada
manusia untuk menentukannya. Panduan dan etika daripada pencipta manusia itu
sendiri amat perlu agar kehidupan duniawi ini mampu berjalan dengan sempurna.
Puncak di atas segala-galanya, rezeki yang diperoleh daripada sumber pencarian
yang halal mempunyai keterikatan yang kuat dengan soal keimanan. Sumber
pendapatan yang baik membawa kepada hidayah, adapun yang diproses daripada
sumber yang diharamkan oleh syarak membawa kepada tercariknya iman lalu pudar
dari hati pemiliknya. Bahkan lebih parah daripada itu, hanya daripada sumber
rezeki yang tidak halal boleh membawa kepada kebinasaan di akhirat kelak. Sabda
Nabi s yang diriwayatkan oleh Ibn Mas’ud:[39]
وَلاَ يُعْجِبَنَّكَ امْرَؤٌ كَسَبَ مَالاً مِنْ حَرَامٍ ،
فَإِنَّهُ إِنْ أَنْفَقَهُ أَوْ تَصَدَّقَ بِهِ لَمْ يُقْبَلْ مِنْهُ ، وَإِنْ
تَرَكَهُ لَمْ يُبَارَكُ لَهُ ، وَإِنْ بَقِيَ مِنْهُ شَيْءٌ كَانَ زَادَهُ إِلَى
النَّارِ
Maksudnya: Kamu tidak akan tergiur dengan seseorang yang memperoleh pencarian
daripada harta haram. Jika dia menginfakkannya atau menyedekahkannya, tidak
akan diterima. Jika harta itu ditinggalkannya, dia tidak mendapat berkat
dengannya. Jika harta itu kekal bersamanya, ia akan lebih mendekatkannya ke
jurang api neraka.
Moga segala perniagaan yang akan dilakukan terlebih dahulu dipastikan sama ada
di dalam kategori halal atau haram
Hukum Perniagaan Binatang dan Serangga di sisi Fuqaha
Sepakat para Fuqaha: Tidak boleh memperniagakan segala bentuk binatang kecil
yang melata di bumi[40] (الحشرات) yang tidak ada manfaatnya. Sebagaimana pra
syarat para fuqaha di dalam soal jual beli; mestilah barang yang didagangkan
memberi manfaat. Kaedah ini diambil berdasarkan istinbat yang diambil oleh
fuqaha daripada hadis sahih yang diriwayatkan oleh Malik[41]:
حَدَّثَنِي مَالِك عَنْ عَمْرِو بْنِ يَحْيَى الْمَازِنِيِّ
عَنْ أَبِيهِ أَنَّ الضَّحَّاكَ بْنَ خَلِيفَةَ سَاقَ خَلِيجًا لَهُ مِنْ
الْعُرَيْضِ فَأَرَادَ أَنْ يَمُرَّ بِهِ فِي أَرْضِ مُحَمَّدِ بْنِ مَسْلَمَةَ
فَأَبَى مُحَمَّدٌ فَقَالَ لَهُ الضَّحَّاكُ لِمَ تَمْنَعُنِي وَهُوَ لَكَ
مَنْفَعَةٌ تَشْرَبُ بِهِ أَوَّلًا وَآخِرًا وَلَا يَضُرُّكَ فَأَبَى مُحَمَّدٌ
فَكَلَّمَ فِيهِ الضَّحَّاكُ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ فَدَعَا عُمَرُ بْنُ
الْخَطَّابِ مُحَمَّدَ بْنَ مَسْلَمَةَ فَأَمَرَهُ أَنْ يُخَلِّيَ سَبِيلَهُ
فَقَالَ مُحَمَّدٌ لَا فَقَالَ عُمَرُ لِمَ تَمْنَعُ أَخَاكَ مَا يَنْفَعُهُ
وَهُوَ لَكَ نَافِعٌ تَسْقِي بِهِ أَوَّلًا وَآخِرًا وَهُوَ لَا يَضُرُّكَ فَقَالَ
مُحَمَّدٌ لَا وَاللَّهِ فَقَالَ عُمَرُ وَاللَّهِ لَيَمُرَّنَّ بِهِ وَلَوْ عَلَى
بَطْنِكَ فَأَمَرَهُ عُمَرُ أَنْ يَمُرَّ بِهِ فَفَعَلَ الضَّحَّاكُ
Maksudnya: Sesungguhnya ad-Dhohak bin Khalifah membuat sungai kecil[42]
daripada al-Uraid (lembah yang berada di Madinah, sekarang sudah dibina
bangunan). Ad-Dhohak ingin mengalirkan sungai tersebut di laluan tanah Muhammad
bin Maslamah. Muhammad tidak berkenan. Maka berkata ad-Dhohak kepadanya: Kenapa
engkau menghalang sedangkan engkau memperoleh manfaat. Engkau boleh minum airnya
dari hulu hilir dan saluran ini tidak membawa mudarat kepada mu. Muhammad tetap
enggan. Ad-Dhohak menceritakan hal ini kepada Umar (Khalifah). Umar memanggil
Muhammad bin Maslamah dan memerintahkan supaya membenarkan untuk Ad-Dhohak
membuat sungai kecil. Berkata Muhammad: Tidak. Berkata Umar: Kenapa engkau
menghalang saudara mu sendiri perkara yang memberi manfaat kepadanya dan engkau
juga mendapat manfaat. Engkau boleh minum dari saluran tersebut di hulu dan
hilir. Saluran itu sedikit pun tidak memberi mudarat kepada mu. Berkata
Muhammad: Tidak sama sekali, demi Allah. Berkata Umar: Demi Allah dia akan
membina saluran di atas tanah mu walaupun terpaksa dibuat di atas perut mu.
Umar memerintahkan untuk dibuat saluran tersebut maka ad-Dhohak melakukannya.
Daripada hadis ini Ulama mengeluarkan hukum bahawa setiap akad yang terbina
mestilah di atas perkara yang memberi manfaat dan tidak membawa mudarat kepada
pihak lain.
Berdasarkan kaedah ini, tidak sah memperdagangkan tikus, ular, semut dan
seumpamanya kerana tidak memberi manfaat untuk ditukar ganti dengan wang tunai.
Perniagaan Lintah dan Pendapat Fuqaha
Para Fuqaha memberikan pengecualian kepada kategori yang memberi manfaat
seumpama ulat sutera untuk dimanfaatkan baju sutera, lebah untuk dimanfaatkan
madunya dan lain-lainnya. Persoalan di sini, adakah lintah termasuk di dalam
kategori yang memberi manfaat atau tidak memberi manfaat? Pendapat Fuqaha
berkenaan itu;
-Boleh memperdagangkan lintah. Ini disebabkan orang ramai memerlukannya untuk
perubatan menghisap darah kotor daripada tubuh. Ini merupakan pendapat yang
disebut secara nas oleh Hanafiah, Syafieyah dan Hanabilah.
Bahkan Hanafiah menambah: Boleh memperdagangkan cacing qirmiz yang diperah
untuk dijadikan pewarna. Syafieyah membenarkan untuk memperdagangkan yarbu’[43]
dan dhob[44] dan seumpanya yang boleh dimakan. Hanabilah membenarkan jual beli
cacing untuk mengakap ikan.
-Tidak boleh memperdagangkan lintah. Ini pendapat yang di dokong oleh Ibn Rajab
al-Hanbali.
Nas bagi setiap ucapan mereka adalah sebagaimana berikut;
Dalil mazhab yang membenarkan;
-Hanafi:
“Abu al-Laith membenarkan menjual lintah. Dengan pendapat ini difatwakan dengan
alasan hajat”[45]
Tersebut di dalam Rad al-Muhtar ketika menerangkan berkenaan harus dijual ulat
sutera dan telurnya:
“Di dalam al-Bahr daripada az-Zakhirah: Jika membeli lintah yang dipanggil di
dalam bahasa Parsi "مَرْعَل" harus hukumnya. Ini juga pendapat yang
dipegang as-Sadr as-Syahid disebabkan keperluan orang ramai padanya dan orang
ramai menganggapnya harta bernilai. أهـ .
Aku berpendapat: Lintah pada zaman kita diperlukan demi tujuan perubatan kerana
ia menghisap darah dan menjadi harta bernilai. Dari itu (bernilai) membuktikan
boleh menjual cacing qirmiz[46]. Cacing qirmiz pada hari ini lebih bernilai
kerana ia merupakan semahal-mahal harta. Dijual setiap tahun dengan timbangan
emas dengan harga yang tinggi. Kemungkinan ia yang ingin dimaksudkan pada
ungkapan “lintah” di dalam az-Zakhirah berdasarkan penjelasan (kepada matan
zakhirah). Maka cacing qirmiz dikecualikan dari dimasukkan di dalam jual beli
bangkai sebagaimana yang telah kami sebutkan.
Menguatkan hujah itu lagi (membolehkan jual cacing qirmiz), Beralasan hajat
keperluan menggunakan cacing qirmiz untuk perubatan tidak membawa kepada harus
jual belinya sebagaimana masalah susu ibu, seumpama alasan hajat keperluan
kepada kalung wanita yang dibuat dari bulu khinzir, sesungguhnya ia tidak
membawa kepada dibenarkan untuk dijual beli sebagaimana yang akan disebutkan.
Maka dapat diketahui di sini maksud “ulat sutera” lintah/cacing/ulat khusus
(seumpama ulat sutera, cacing, ulat bulu dan lain-lain) yang bernilai di sisi
manusia. Alasan itu dapat diperoleh pada cacing qirmiz. Ia lebih patut
dihukumkan harus daripada ulat sutera dan telurnya kerana cacing qirmiz
dimanfaatkan segera dan adapun ulat sutera dimanfaatkan pada tempoh akan
datang. Allahu A’lam”[47]
-Syafie:
i) Berkata Imam Nawawi di dalam Majmuk pada bab apa yang boleh dijual beli dan
apa tidak boleh:
“Lintah iaitu cacing hitam atau merah yang keluar dari air. Kebiasaannya
diletakkan di atas anggota yang berlebihan darah, maka lintah akan menghisap
darahnya. Apakah boleh menjual lintah tersebut Terdapat dua toriq:
(Paling Asoh): Ini yang diputuskan Imam Haramain dan al-Ghazali dan al-Baghawi
di dalam syarah al-Mukhtasor dan selain mereka mengatakan harus. Ini kerana
terdapat tujuan yang diinginkan iaitu menghisap darah daripada anggota yang
sakit.
(Toriq kedua): Terdapat dua wajah; al-Mutawalli yang meriwayatkan pendapat ini.
Asah: Harus. Kedua: Tidak, kerana ia haiwan yang menyakiti seumpama ular dan
kala jengking.”[48]
ii) Berkata Syeikh Muhammad as-Syarbini al-Khatib di dalam Muqni al-Muhtaj
ketika menerangkan maksud Imam Nawawi “Tidak sah jual beli serangga dan setiap
binatang buas yang tidak memberi manfaat”;
(Termasuk dalam kategori tidak memberi manfaat) “seumpama singa, serigala,
helang dan gagak merupakan binatang yang tidak boleh dimakan. Tidak dilihat
pada manfaat kulitnya setelah mati atau dibuat anak panah daripada bulunya atau
menjadi simpanan peliharaan raja-raja demi tujuan menunjukkan kekuatan atau
politik. Adapun apa yang memberi manfaat dari benda itu seperti harimau buruan
untuk memburu, gajah untuk memburu, monyet untuk mengawal, lebah untuk madu,
burung bulbul untuk suara, merak untuk warnanya, lintah untuk menghisap darah,
maka jual belinya sah...”
iii) Di dalam Tuhfatul Muhtaj:
“Tidak sah jual beli Hasyarat iaitu binatang kecil yang melata di bumi seumpama
tikus. Tidak dikira jika manfaatnya di sisi pakar. Dikecualikan seumpama
yarbu’, dhob yang dimakan, lebah, ulat sutera dan lintah untuk menghisap
darah”[49]
“Jika dikatakan: Semua hasyarat ini bermanfaat di sisi mereka yang pakar.
Apakah alasan pengecualiannya berbanding yang lain? Aku berkata: Syeikh kami[50]
pernah menjawab: Sesungguhnya apabila semua ini menjadi masyhur dan diketahui
oleh kebanyakan manusia, maka ia dikecualikan. Adapun yang baki, tidak
dikecualikan kerana ia hanya khusus kepada para-para doktor yang spesialis”[51]
-Hanbali:
i) Di dalam al-Mughni & as-Syarhu al-Kabir:
“Fasal: Pada menjual lintah yang dimanfaatkan seumpama yang bergantung pada
wajah yang naik jagat[52] lalu menghisap darah dan menjual cacing yang
diletakkan di mata kail untuk memancing ikan. Terdapat dua wajah:
Paling asoh: Boleh menjualnya kerana mendapat manfaat maka ia seperti ikan.
Kedua: Tidak boleh, kerana ia tidak memberi manfaat kecuali jarang-jarang maka
ia seumpama tidak membawa manfaat”.[53]
ii) Di dalam al-Furu’:
“Pada menjual lintah untuk menghisap darah, cacing untuk menangkap ikan dan apa
yang digunakan untuk memburu seperti burung hantu terdapat dua wajah”.
“(Pertama) mengatakan sah. Ini pendapat as-sahih di sisi Mazhab. Beliau menilai
sahih pendapat ini di dalam al-Mughni, as-Syarh, An-Nazm, Al-Hawi al-Kabir dan
selain mereka. Beliau meletakkannya di dalam ar-Ria’yah al-Kubra. (Aku
katakan): Ia merupakan zahir ucapan para ashab.
(Wajah kedua): Tidak sah”[54].
Dalil mazhab yang melarang;
i) Di dalam Jami’ul Ulum wal Hikam;
“...Adapun baki haiwan lainnya yang tidak boleh dimakan dan tidak ada manfaat
padanya seumpama al-Hasyarat dan yang sama kategori dengannya, tidak boleh
diperniagakannya. Apa yang disebut daripada manfaat pada sebahagian al-Hasyarat
adalah sedikit. Ini tidak menjadikan ia boleh untuk diniagakan sebagaimana Nabi
s tidak membenarkan memperdagangkan bangkai selepas disebutkan kepada baginda
manfaat yang boleh diperoleh daripada bangkai. Oleh sebab ini, pendapat yang
as-Sahih: Tidak dibenarkan memperdagangkan lintah untuk menghisap darah, cacing
untuk memancing dan begitulah seterusnya...”[55]
Kesimpulan Perbahasan
1) Boleh memperdagangkan lintah
2) Sah jual beli hatta setelah lintah mati. Ia tidak dikategorikan sebagai jual
beli bangkai .
http://jomfaham.blogspot.com/2009/01/hukum-hakam-mengenai-lintah-bab-4.html
Logged


- Posts:
14508
- Anniversary
Ke 30
·
Hukum Hakam Mengenai Lintah Bab 5
PERBAHASAN KETIGA
LINTAH DALAM PERUBATAN
Perbahasan di sini adalah seumpama berikut;
Fasal A
1) Sejarah Penggunaan Lintah di dalam Perubatan
2) Perbezaan perubatan Dahulu dan Moden
3) Kegunaan Lintah dan Penyakit yang disembuhkan menggunakan Lintah
4) Bahan yang dikeluarkan oleh Lintah
Fasal B
1) Kaedah Perubatan Di dalam Islam
2) Hukum Perubatan Menggunakan Lintah
Kesimpulan Perbahasan
Sejarah Penggunaan Lintah di dalam Perubatan
Kaedah perubatan menggunakan lintah bermula daripada tamadun kuno Mesir pada
3000 tahun yang lalu. Ia digunakan untuk mengeluarkan darah kotor dari tubuh
melalui proses pembekaman. Juga diguna pakai oleh para wanita Mesir pada waktu
tersebut dengan meletakkan lintah di telinga masing-masing untuk menjadikan
pipi kemerahan dan mata berkilau. Dikatakan mampu menjadikan mereka bertenaga
untuk menari sepanjang malam.
Tamadun India dan Greek mencatatkan bahawa kaedah berbekam menggunakan lintah
merupakan kaedah perubatan kuno mereka. Rusia juga dilaporkan menjadikan lintah
sebagai salah satu perubatan kuno mereka selain daripada herba dan lebah.
Kaedah berbekam menggunakan kaedah lintah terus masyhur sehingga diikuti oleh
Eropah sehingga berakhir di kemuncaknya pada abad ke 19 apabila kekurangan
lintah untuk digunakan dalam perubatan. Ia terbukti apabila pada tahun 1833
lintah merupakan sektor perniagaan utama di Eropah. Secara khusus dapat kita
perhatikan pada tahun 1829 dan 1836 penggunaan lintah di hospital Paris
mencecah 5-6 juta ekor setahun.
Perbezaan Perubatan Dahulu dan Moden
Di dalam perubatan kuno, lintah digunakan untuk mengeluarkan darah kotor dengan
cara berbekam, segala penyakit di kepala, obesiti, buasir, radang buah pinggan,
radang pada rongga badan, merangsang mata dan masalah mental. Kaedah perubatan
menggunakan lintah berhenti pada tahun 60 an.
Di dalam perubatan moden, penggunaan lintah mula dipandang kembali oleh para
pengkaji yang mengetahui keistimewaan lintah ini. Bermula pada tahun 80 an
perubatan menggunakan lintah kembali dengan nama “hirudotherapy[56]” atau
“leech therapy” mendapat tempat secara khusus di dalam surgeri berkaitan
pembedahan plastik dan pembedahan pembinaan semula anggota seumpama hidung,
bibir, kening, telinga, kulit kepala, jari, pinggul dan kaki.. Di dalam
pembedahan seumpama ini jika tidak diselesaikan dengan segera darah akan
membeku dan tisu akan mati, maka lintah benar-benar membantu di dalam situasi
ini. “Hirudin” yang terdapat di dalam liur lintah mampu mengelakkan darah
membeku dan “histamina” yang ada pada lintah dikatakan mampu membesarkan
saluran pembuluh darah sekali gus mampu memperbaiki sistem pengaliran darah dan
penyakit jantung.
Rembesan air liur lintah mengandungi lebih dr 100 bahan biologi aktif yang
mempunyai fungsi sebagai anti-bengkak,antibakteria,tahan sakit,memperbaiki
pengaliran darah,memperbaiki salur darah dalam tisu dan organ, menghilangkan
hypoxia (kurang oksigen), mengurangkan tekanan darah yg tinggi, mengkatkan
sistem tahan badan, membuang toxic badan dan mengurangkan komplikasi seperti
infarksi (kematian tisu badan), strok dan meningkatkan bioenergy (tenaga bdan).
Cara lintah menyuntik dan merembeskan air liurnya sangat mudah; melekat pada
kulit, menggigit, kemudian menyuntik rembesan air liur dan rembesan tersebut
masuk ke dalam salur darah dan pergi ke tempat atau lokasi yg sakit. Di dalam
rawatan hyrudotehrapy lintah digunakan sebagai" life needle"-jarum yg
hidup- di tempat-tempat yang dikenali sebagai reflexogenic point (titik-titik
refleks).
Walaupun begitu, penggunaan lintah juga terdapat kelemahannya. Kelemahan lintah
di dalam perubatan;
1) Hanya boleh digunakan satu lintah untuk satu pesakit. Jika digunakan seekor
lintah untuk lebih dari seorang pesakit kemungkinan virus seumpama hepatitis B
dan HIV berpindah kepada individu kedua. Walaupun belum ada bukti yang tercatat
mengenainya perpindahan HIV akan tetapi kaedah satu lintah untuk satu pesakit
adalah langkah pencegahan.
2) Terdapat bakteria yang berada di dalam usus lintah. Bakteria yang bernama
Aeromonas hydrophila. Terbukti ramai pesakit yang menggunakan lintah dalam
perubatan juga dijangkiti bakteria ini. Cara terbaik untuk elak jangkitan
bakteria ini adalah dengan menyapukan antibiotik seumpama gentamicin, amikacin,
chloramphenicol dan tetracycline di tempat luka sebaik saja lintah
meninggalkannya.
3) Memerlukan lintah lapar untuk perubatan. Ini kerana lintah yang kenyang
mampu bertahan dalam tempoh yang lama. Lintah kenyang tidak akan memakan mana
darah sehinggalah tiba waktunya.
Dengan kemajuan teknologi pada hari ini, lintah juga di ekstrak untuk
dihasilkan krim, minyak dan sebagainya. Ia telah di iktiraf di Amerika sebagai
ubat dan di sahkan oleh Pentadbiran Ubat dan Makanan Amerika (FDA). Di barat
hasil kajian berjaya menghasilkan pil jantung
Harus kita ingat bahawa, penggunaan lintah (di Malaysia) untuk pengeluaran
produk masih dalam peringkat R&D
Kegunaan Lintah dan Penyakit yang disembuhkan menggunakan Lintah
Kegunaan;
1) General Reflexogenic (refleksologi)
2) Hypotensive bloodletting (pengaliran darah tekanan rendah)
3) Immunopotentiating (stimulasi imunisasi)
4) Internal decongestion(bahan penguraian dalaman)
5) Bacteriostatic (antibiotik)
6) Anticoagulant (antibeku darah)
7) Anti-inflammatory (anti radang)
8) Antithrombotic (anti sumbatan(trombus)
9) Local anti-edematous (anti- bengkak)
10) Thrombolytic (pelerai sumbatan)
11) Analgesic (tahan sakit)
12) Removal of microcirculation disorders (mengurai masalah saluran darah)
13) Antiatherosclerotic (anti pengerasan salur darah)
14) Anti-ischemic (anti kurang oksigen dan pereputan tisu)
15) Removal of abnormal inter-system interactions (menghindar gangguan sistem
dalam badan)
Penyakit yang disembuhkan;
1) Diabetes Melitus
2) Kelenjar Tyroid dan Kanser
3) Cedera Otot
4) Migrain
5) Glaucoma
6) Myasthenia
7) Inflammatory reactions
8) Heart diseases
9) Rheumatic diseases
10) Tendovaginitis and tendonitis
11) Venous disease and varicose veins
12) Arthrosis
13) Arthritis
14) Muscle tension
15) Trombosis and embolism
16) Passive congestions and spastic conditions
17) Vertebrogenic pain syndromes
18) Transudates and exudates
19) Antidyscratic therapy (blood purification and regeneration) of toxicosos
and mental illnesses
Bahan yang terkandung dan yang dikeluarkan oleh Lintah
1) Hirudin
2) Hyaluronidase
3) Pseudohirudin
4) Destabilase
5) Apyrase
6) Bdellines
7) Eglines
8) Kininases
9) Histamine – like substances
10) Collagenase
11) Leech prostanoids
12) Inhibitor of Kallukrein of the blood plasma
13) Proteases
14) Lipolytic enzymes
15) Intibitor of Xa factor of the blood coagulation
16) Triglyceridase
17) Cholestrol esterase
18) Lipase
http://jomfaham.blogspot.com/2009/01/lintah-dan-perubatan.html
Logged


- Posts:
14508
- Anniversary
Ke 30
·
Hukum Hakam Mengenai Lintah Bab 6
Perubatan Di dalam Islam
Jika kita meneliti dengan pengamatan yang tajam dan teliti di dalam Al-Quran
nescaya kita akan temui tidak kurang daripada 416 ayat secara berulang yang
menyebut tentang perubatan. Ini bukan bermaksud Al-Quran ini kitab perubatan,
ia merupakan Kitab hidayah kepada manusia. Segala ayat-ayat tadi dikutip
daripada Al-Quran sebagai bukti keagungan dan kehebatan Allah Taala.
Tidak timbul persoalan berubat merupakan penafian kepada qada qadar Allah Taala
kerana apa sahaja teknik perubatan yang digunakan masih berlegar di bawah sunah
ketetapan Allah Taala. Dia yang memberi kesembuhan dan kesakitan secara hakiki.
Mungkin boleh disimpulkan kaedah perubatan Islam berbeza berbanding perubatan
lainnya pada beberapa perkara;
1) Berpaksi kepada keimanan dan yakin dengan qada dan qadar Allah Taala.
Penyerahan mutlak kepada Allah Taala dalam keadaan mengambil segala sebab yang
menyembuhkan sakit. Berhati-hati dan menjaga daripada ditimpa sakit merupakan
juzu daripada ajaran Islam.
2) Tanaman ke dalam hati Umat Islam erti kesabaran dan redho dengan ketetapan
Allah Taala. Bersyukur dan mengucapkan pujian kepada Allah jika disembuhkan.
Ini merupakan keistimewaan yang diberikan Allah kepada orang beriman. Sabda
Nabi J[57];
Maksudnya: Daripada Nabi J bersabda: Aku merasa hairan dengan ketetapan Allah
kepada seorang Muslim. Semuanya menguntungkan. Jika menimpanya kebaikan, dia
bersyukur nescaya Allah anugerahkan pahala. Jika menimpanya kecelakaan, dia
bersabar nescaya Allah anugerahkan juga pahala.
Oleh sebab itu, Mukmin yang kuatnya imannya pasti akan kuat tubuhnya. Jauh dari
penyakit emosi dan perasaan ingin membunuh diri. Tidak ada di dalam kamus
Mukmin penyesalan, putus asa dan hilang harapan.
3) Islam menganjurkan mencegah sebelum mengubati. Di antara konsep pencegahan
daripada terkena penyakit yang diajarkan oleh Islam
i) Kebersihan itu sebahagian daripada Iman
ii) Sentiasa berpada-pada dengan makanan. Kerana perut punca segala penyakit.
iii) Jangan mendekati kawasan yang diserang penyakit menular.
iv) Diharamkan memakan makan yang memberi mudarat kepada tubuh.
4) Islam menggesa penganutnya supaya berubat dan menjaga tubuh badan. Ini
kerana tubuh badan merupakan amanah Allah kepada manusia yang wajib dijaga
sebaik-baiknya. Sabda Nabi [58]:
قَالُوا : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، نَتَدَاوَى ؟ قَالَ :
تَدَاوَوْا فَإِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ لَمْ يُنْزِلْ دَاءً إِلا وَضَعَ لَهُ
دَوَاءً إِلا الْهَرَمَ
Maksudnya: Bertanya sahabat kepada baginda: Apakah kami boleh berubat? Jawab
baginda: Berubatlah kalian, sesungguh Allah tidak menurunkan penyakit kecuali
bersamanya ubat kecuali penyakit tua.
5) Islam memperluaskan kaedah perubatan. Tidak hanya semata-mata dengan ubat,
pembedahan, pemeriksaan kesihatan dan selainnya akan tetapi juga disertakan
perubatan dengan menggunakan Al-Quran, doa-doa ma’thur yang menjadikan hati
semakin kuat dan sihat daripada penyakit.
Secara kesimpulannya, boleh dikatakan Islam membina konsep perubatan yang
menggabungkan di antara maddi dan ruhi, antara zahir dan batin.
http://jomfaham.blogspot.com/2009/01/hukum-hakam-mengenai-lintah-bab-6.html
Logged


- Posts:
14508
- Anniversary
Ke 30
·
Hukum Hakam Mengenai Lintah Bab 7
Hukum menggunakan Lintah di dalam Perubatan
Terdapat hadis & dalil yang terlalu banyak berhubung perubatan menggunakan
lintah. Kesemuanya secara khusus di dalam kaedah berbekam. Disebutkan di sini
dalil-dalil utama sahaja;
1) Hadis riwayat al-Bukhari, Muslim, an-Nasaie, al-Hakim, Ahmad dan at-Tabrani;
Maksudnya: Daripada A’sim bin Umar bin Qatadah berkata: Datang bertemu keluarga
kami Jabir bin Abdullah dan terdapat seorang lelaki yang mengadu bengkak
bernanah yang menimpanya atau luka. Maka Jabir berkata: Kenapa kamu mengeluh?.
Dia menjawab: bengkak nanah di tubuh ku yang menyusahkan aku. Jabir berkata:
Wahai budak, bawak ke sini tukang bekam. Dia berkata: Apa yang engkau nak buat
dengan tukang bekam wahai Abu Abdullah. Jabir berkata: Aku ingin letakkan
mangkuk bekam pada kawasan bengkak nanah itu. Dia berkata: Demi Allah, lalat
sahaja tersentuh kawasan bengkak itu atau baju yang tersentuh dah amat
menyakitkan aku dan menyusahkan. Apabila Jabir melihat tidak yakinnya untuk
berbekam. Dia berkata: Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah J bersabda:” Jika
ada kesembuhan pada salah satu dari ubat-ubat kalian, nescayalah pada pisau
bekam atau meminum madu atau menempelkan besi panas”. Bersabda Nabi J: “Aku
tidak suka berubat menggunakan besi panas”. Asim berkata: Maka dia membawa
datang tukang bekam dan menghiris kawasan luka maka hilanglah segala bengkak
nanah di tubuhnya.
Keterangan:
i) Berkata Imam Nawawi: “Hadis ini di antara perkara yang mengagumkan di dalam
perubatan pada mereka yang spesialis. Ini kerana penyakit lebihan hanya berlaku
pada darah atau hempedu atau lendir hitam atau kahak. Jika pada darah maka cara
mengubatnya dengan mengeluarkan darah. Jika pada tiga terakhir yang berbaki
maka cara mengubatnya dengan cara beri pelancar (metabolik stimulan) dengan bahan
pelancar yang sesuai dengan setiap ramuan dicampurkan dengannya (madu).
Seolah-olah baginda Nabi J memberi peringatan dengan madu sebagai pelancar
(metabolik stimulan), juga peringatan dengan hijamah[59], fasodah, meletakkan
lintah dan selainnya yang semaksud dengannya. Baginda menyebut perubatan dengan
besi panas kerana ia digunakan ketika ubatan secara minuman dan seumpamanya
tidak memberi manfaat. Perubatan terakhir ialah menggunakan besi panas”[60]
ii) Berkata Badruddin Al-Aini: “(Penyembuh pada tiga benda) Nabi tidak
memaksudkan daripada sabda baginda J pada tiga itu sahaja. Penyembuh mungkin
juga dari selainnya akan tetapi baginda menyebut dengan tiga penyembuh ini
kerana ia paksi penyembuh. Ini kerana sakit tidak terlepas disebabkan darah
atau hempedu atau bendalir hitam atau kahak. Pada darah dengan mengeluarkannya
iaitu dengan cara berbekam di kepala. Nabi J menyebut secara khusus berbekam di
kepala kerana Arab banyak melakukannya dan mengenalnya berlainan dengan
berbekam di tubuh. Walaupun ia termasuk di dalam kategori berbekam juga akan
tetapi tidak menjadi kebiasaan mereka. (pisau bekam) termasuk bekam pada tubuh,
meletakkan lintah dan selain keduanya yang memberi maksud seumpama
keduanya...”[61].
2) Al-Baihaqi dan Ibn Abi Syaibah meriwayatkan;
وَرُوِّينَا عَنِ الشَّعْبِيِّ ، عَنِ النَّبِيِّ صلى الله
عليه وسلم ، مُرْسَلا ، خَيْرُ الدَّوَاءِ السَّعُوطُ ، وَاللَّدُودُ ،
وَالْحِجَامَةُ وَالْمَشْيُ وَالْعَلَقُ
Maksudnya: Diriwayatkan kepada kami daripada as-Sya’bi daripada Nabi J secara
mursal: Sebaik-baik ubat ialah dimasukkan ke hidung[62], ubat disuapkan ke
mulut[63], berbekam, berjalan ke tandas (julap) dan lintah.
3) Hadis yang diriwayatkan oleh A’mir secara mursal[64];
حديث عامر : خَيْرُ الدَّوَاءِ العَلَقُ والحِجَامَةُ
Maksudnya: Sebaik-baik ubat ialah lintah dan berbekam.
Keterangan: Hadis yang kedua dan ketiga tidak boleh dijadikan hujah;
i) Kedudukan kedua-dua hadis ini mursal.
ii) Kemungkinan maksud al-alaq di situ bukan membawa maksud lintah akan tetapi
kain yang digantung kepada kanak-kanak yang diserang penyakit tonsil
(العُذْرَة) sehingga berdarah. Ibu kanak-kanak akan menggulung kain dan
dimasukkan ke hidung lalu menekan kepada kawasan sakit. Darah hitam akan keluar
dengan perbuatan tersebut. Ia juga proses membuang darah kotor kepada
kanak-kanak tersebut. Panjang lebar dibahaskan di dalam kitab-kitab hadis
berhubung perbuatan sebegini sama ada dibenarkan atau dilarang.
4) Adat kebiasaan daripada zaman salaf as-soleh yang tidak menafikan untuk
menggunakan lintah dalam perubatan.
Daripada dalil-dalil yang dikemukakan dapat diambil kesimpulan bahawa
penggunaan lintah di dalam perubatan dahulu hanya sebagai pembuang darah kotor
atau di dalam kata lain sebagai kegunaan luaran sahaja. Dengan kemajuan sains
dan teknologi pada hari ini, kegunaan lintah diperluaskan lagi.
Kesimpulan Perbahasan
1) Lintah diguna pakai pada zaman dahulu hanya sekadar untuk mengeluarkan darah
kotor
2) Imam Nawawi, Imam al-Aini dan selain mereka mengiktiraf perubatan
menggunakan lintah.
http://jomfaham.blogspot.com/2009/01/hukum-hakam-mengenai-lintah-bab-7.html
Logged


- Posts:
14508
- Anniversary
Ke 30
·
Hukum Hakam Mengenai Lintah Bab 8
PERBAHASAN KEEMPAT
LINTAH DALAM PEMAKANAN
Perbahasan di sini adalah seumpama berikut;
1) Makanan dan Minuman di dalam Islam
2) Khasiat yang diperoleh daripada lintah
3) Produk Lintah yang dihasilkan
4) Hukum Memakan Lintah (Pendapat Fuqaha)
5) Binatang yang boleh dimakan
6) Memakan Lintah yang berubah unsur
7) Kesimpulan Perbahasan
Makanan dan Minuman di dalam Islam
1) Firman Allah Taala[65]:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُلُوا مِنْ طَيِّبَاتِ مَا
رَزَقْنَاكُمْ وَاشْكُرُوا لِلَّهِ إِنْ كُنْتُمْ إِيَّاهُ تَعْبُدُونَ .إِنَّمَا
حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنْزِيرِ وَمَا أُهِلَّ
بِهِ لِغَيْرِ اللَّهِ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلا عَادٍ فَلا إِثْمَ
عَلَيْهِ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! makanlah dari benda-benda yang baik
(yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada
Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadaNya. Sesungguhnya Allah hanya
mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah, dan daging babi, dan
binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah maka sesiapa terpaksa
(memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula
melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa.
Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Semua manusia di mana-mana sahaja bersepakat mengenai kewajipan memelihara
tatacara pemakanan, minuman, berpakaian dan lain-lain lagi yang menjadi satu
fitrah kepada manusia dalam mengaturnya. Bagi setiap individu ada makanan yang
dimakannya dan ada yang perlu ditinggalkannya. Setiap kelompok masyarakat
mempunyai cara tersendiri untuk menilai makanan dan minuman yang memberi
manfaat dan membawa kemudaratan kepada mereka. Ada yang menjadikan agama
masing-masing sebagai penilai, ada yang menjadikan pengalaman dan kajian, ada
yang menjadikan perubatan dan bermacam-macam lagi penilai untuk mencapai
matlamat masing-masing untuk mendapat makanan dan minuman yang baik untuk
kehidupan masing-masing.
Segala usaha dan penilaian yang menyibukkan ini akan menjadikan manusia melupai
Allah sedikit atau banyak. Kesannya akan menyebabkan hati dicemari dengan
kekotoran dan terputus hubungannya dengan Allah Taala. Racun yang memasuki hati
ini wajib diubati. Oleh sebab itu maha bijaksana Allah apabila memerintahkan
untuk mensyukuriNya selepas memperoleh segala makan minum yang diinginkan.
Allah juga mengkhususkan makanan tertentu sahaja yang dibenarkan untuk
dimanfaatkan oleh manusia kerana sebahagian daripada binatang-binatang yang
dimakan akan memberi kesan kepada akhlak emosi seseorang insan. Perkara
tersebut telah diakui oleh tokoh-tokoh perubatan sendiri mengenai akhlak
manusia yang memakan khinzir, monyet dan sebagainya. Bagi orang yang beriman,
penilaian yang diberikan oleh Allah dan Rasulnya merupakan penilaian yang
paling tepat dan wajib untuk ditaati[66].
Oleh itu, peranan khalifah Allah yang dipertanggungjawab oleh Allah kepada
manusia di muka bumi ini bukan hanya semata-mata urusan solat, puasa, haji,
zakat dan seumpamanya yang merupakan ibadat itu sendiri akan tetapi menjadikan
pelaksanaan setiap inci kehidupan di muka bumi Allah ini mengikut neraca yang
Allah inginkan juga merupakan satu kewajipan. Jika hati dan dada kita diberi
petunjuk untuk memahami dan menghayati isi dan ajaran Al-Quran itu sendiri.
Maha benar apa yang Allah firmankan[67];
مَا فَرَّطْنَا فِي الْكِتَابِ مِنْ شَيْءٍ ثُمَّ إِلَى
رَبِّهِمْ يُحْشَرُونَ
Maksudnya: Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam Kitab Al-Quran ini;
kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab
dan menerima balasan).
Khasiat yang diperoleh daripada lintah
Kebanyakan minuman atau makanan yang dihasilkan melalui lintah adalah bertujuan
khasiat kebatinan bagi mereka yang telah berumah tangga.
Produk Lintah (Contoh Malaysia)
1) Tapa Cafe
2) Minyak Lintah Tapa
3) DDslim
4) Tapa Teruna Juice
5) Ekstrak serbuk
6) Ekstrak serbuk
7) Ekstrak cecair
Hukum memakan lintah (Pendapat Ulama dan Fuqaha)
Perbahasan di sini dipecahkan kepada dua bahagian;
i) Haiwan yang boleh dimakan dan diharamkan
Para Fuqaha memberikan kaedah untuk menilai makanan yang diharamkan untuk
dimakan oleh kaum Muslimin. Kaedah ini dikeluarkan daripada firman Allah dan
sunah baginda Nabi ;
1) Makanan memberi mudarat kepada tubuh.
2) Memberi mudarat kepada akal.
3) Sesuatu yang jijik pada pertimbangan mereka yang sihat emosinya.
Berkata Ibn Qudamah: “Apa yang dikata elok oleh Arab maka ianya halal kerana
firman Allah[68];
وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ
Maksudnya:
dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik
Iaitu apa yang dianggap baik dan elok oleh mereka selain daripada yang telah
dihalalkan. Juga beralasan dengan dalil lain[69];
يَسْأَلُونَكَ مَاذَا أُحِلَّ لَهُمْ قُلْ أُحِلَّ لَكُمُ
الطَّيِّبَاتُ
Maksudnya: Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad): "Apakah (makanan)
yang Dihalalkan bagi mereka?" bagi menjawabnya katakanlah:
"Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik,
Jika Allah ingin maksudkan makanan yang telah dihalalkan, maka ayat ini tidak
menjadi jawapan kepada persoalan.
Juga sesuatu yang dianggap jelik oleh Arab hukumnya haram. Berdasarkan firman
Allah Taala;
وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ
Maksudnya: dan mengharamkan kepada mereka Segala benda yang buruk;
Mereka yang diiktiraf dan diguna pakai untuk diterima tanggapan baik dan
jeliknya sesuatu ialah bangsa Arab Hijaz yang tinggal di kota. Ini kerana
Al-Quran mula-mula diturunkan kepada mereka dan mula-mula mendapat mendengar
hadis Nabi, maka dirujuk setiap ucapan Al-Quran dan Sunah kepada adat dan uruf
mereka tidak selain mereka. Tidak boleh menilai perasaan Penduduk Hijaz yang
tinggal di kampung-kampung kerana disebabkan darurat atau kelaparan mereka
makan apa sahaja yang mereka temui”.
4) Benda-benda Najis
5) Daging binatang buas yang berkaki empat dan juga burung
6) Haiwan jinak yang mempunyai kuku. Seumpama keldai
7) Haiwan-haiwan yang dituntut oleh syarak untuk membunuhnya
Ini merupakan tujuh kaedah dalam menentukan sesuatu makanan halal dimakan atau
tidak. Berhubung tentang hukum memakan lintah, Imam Dumairi berkata: “Haram
memakan lintah”[70]
ii) Memakan lintah yang berubah unsur
Berubah Unsur (الاستحالة): “Perubahan sesuatu kepada sesuatu yang lain pada
sudut hakikat atau sifatnya”. Contohnya arak yang bertukar menjadi cuka. Arak
haram. Cuka halal.
Di dalam istilah ahli kimia: “Tindak balas kimia mengubah satu unsur kepada
unsur yang lain”. Seumpama minyak dan lemak bertukar menjadi sabun.
Proses perubahan unsur ini boleh berlaku dalam lima keadaan;
1) Perubahan dari unsur dengan sendirinya. Seumpama arak menjadi cuka.
2) Larut di dalam bahan lain (الاستهلاك): Seumpama arak masuk ke dalam benda
cecair yang lain. Unsur arak hilang sama sekali, terlarut di dalam cecair
tersebut[71]. Jika seseorang meminum air tersebut, dia tidak dikatakan meminum
arak.
3) Perubahan unsur dengan api. Contoh najis yang dibakar sehingga menjadi debu.
4) Perubahan disebabkan kelamaan atau bercampur dengan bahan-bahan lain. Contoh
seperti najis binatang yang menjadi tanah.
5) Perubahan unsur dengan tindak balas kimia. Contoh seperti minyak najis
dijadikan sabun, tulang bangkai dijadikan krim.
Di dalam situasi ini, maksud perubahan unsur ialah, lintah diproses dijadikan
bahan di dalam makanan tertentu atau minuman tertentu.
Hukum Syarak mengenainya
Terdapat beberapa contoh yang dibawakan oleh Fuqaha berhubung perubahan unsur
daripada haram kepada halal yang menjadi kesepakatan mereka. Contohnya;
i) Arak bertukar dengan sendirinya menjadi cuka
ii) Darah kijang menjadi kasturi
iii) Darah manusia bertukar menjadi susu ibu
iv) Kulit bangkai menjadi bersih dengan disamak dan lain-lain.
Terdapat beberapa perkara menjadi khilaf di kalangan fuqaha seumpama;
i) Asap dari najis itu bersih di sisi Hanafiah, tidak pada Syafieyah.
ii) Bangkai tikus, khinzir atau apa-apa binatang jatuh ke dalam garam dan
menjadi garam. Halal di sisi Hanafiah tidak pada syafieyah.
iii) Minyak najis yang bertukar menjadi sabun. Bersih di sisi Hanafiah tidak
pada syafieyah.
iv) Krim daripada bangkai binatang. Bersih pada kebanyakan fuqaha.
v) Susu daripada haiwan yang memakan najis. Bersih mengikut jumhur ulama kerana
telah berlaku perubahan unsur dari makanan yang najis kepada darah kepada susu.
vi) Tanah yang najis dibuat tembikar atau bata.
Apa yang boleh disimpulkan di sini. Sesungguhnya terdapat perselisihan di
kalangan Fuqaha berhubung perubahan unsur benda najis selain arak kepada unsur
lain.
Hanafiah, Malikiah dan Ahmad pada satu riwayat: Benda-benda najis menjadi
bersih dengan proses perubahan unsur.
Syafieyah, Ahmad pada pendapat terkuat dan Abu Yusuf: Benda-benda najis tidak
akan menjadi bersih dengan proses perubahan unsur kecuali arak sahaja. Itu pun
jika arak berubah menjadi cuka dengan sendirinya. Begitu juga pengecualian
kepada kasturi dan darah menjadi susu.
Pendapat Terkuat[72] di dalam masalah ini adalah pendapat hanafiah. Ini kerana
perkara ini bukan perkara ibadat akan tetapi perkara adat. Jika begitu segala
hukum ada berputar pada paksi hakikat perkara tersebut sama ada masih mengekalkan
unsur najis atau tidak[73].
Hujah yang dipegang di dalam mempertahankan pendapat tersebut;
i) Hadis riwayat at-Tirmizi berkenaan telaga al-Bidoa’h yang dilempar di
dalamnya tuala haid wanita, anjing dan kotoran;
الْمَاء طَهُور لَا يُنَجِّسهُ شَيْء
Maksudnya: Air yang bersih, tidak suatu apa pun yang mampu menjadikannya najis.
Jika arak yang dikatakan sebagai ibu segala kotoran mampu menjadi bersih dengan
perubahan unsur. Maka lebih patut dengan hukum tersebut kepada selain arak.
Tidak menjadi masalah sama ada perubahan itu dengan sendirinya atau dengan
faktor yang lain. Ini kerana hakikatnya telah berubah sama sekali.
Di dalam masalah lintah, hakikat perubahan unsur atau tidak wajib diserahkan
kepada mereka yang berkeahlian dalam soal tersebut. Jika benar berlaku
perubahan unsur dari lintah kepada makanan. Maka ia menjadi halal mengikut
pendapat Hanafiah, Malikiah, Hanabilah dan Ulama kontemporari yang
mempertahankan pendapat ini. Allahu A’lam
Masalah yang seumpama ini yang pernah dibahaskan oleh Ulama ialah menggunakan
darah binatang di dalam makanan dan perubatan, Dari sel darah merah itu diambil
proteinnya untuk dimasukkan ke dalam semua jenis makanan seumpama roti, susu
dan menambahkan kualiti dan khasiat kepada makanan-makanan lain. Hukum mengenainya
jelas halal jika secara pasti perubahan unsur itu berlaku. Jika tidak, haram
untuk memakannya[74].
Kesimpulan Perbahasan
1) Haram memakan lintah secara langsung.
2) Harus memakan lintah yang di ekstrak jika secara pasti berlaku proses
perubahan unsur kepada makanan. Maka hukumnya Halal ( Ekstrak lintah, minyak
lintah, Fermentasi lintah dan olahan
jenis lintah yang telah mengalami perubahan unsure )
http://jomfaham.blogspot.com/2009/01/hukum-hakam-mengenai-lintah-bab-8.html
Logged


- Posts:
14508
- Anniversary
Ke 30
·
Hukum Hakam Mengenai Lintah Bab 9 (Akhir)
PERBAHASAN KELIMA
LINTAH DALAM KOSMETIK[75] & KECANTIKAN
Perbahasan di sini adalah seumpama berikut;
1) Prinsip kecantikan dan perhiasan di dalam Islam
2) Produk kecantikan & Kosmetik daripada lintah
3) Hukum Berhias dan bersolek untuk lelaki dan wanita
4) Perhiasan untuk lelaki
5) Perhiasan untuk wanita
6) Perhiasan menggunakan Lintah
7) Kesimpulan perbahasan
Prinsip kecantikan dan hiasan di dalam Islam
Perhiasan ialah “nama bagi setiap sesuatu yang digunakan insan untuk berhias
dengannya pada tubuh, tempat, tunggangan dan selainnya”[76].
Islam telah menerangkan prinsip kewajipan memelihara tubuh, ruh dan diri kepada
seluruh penganutnya. Prinsip ini yang memberikan kebenaran kepada umat Islam
untuk mempercantik dan memperelok pada semua sudut kehidupannya. Lebih-lebih
lagi kecantikan tubuh badan sehinggakan ia merupakan sebahagian daripada
keimanan. Perbuatan tersebut merupakan perbuatan terpuji kepada lelaki mahupun
wanita dengan syarat sederhana dan niat yang betul. Firman Allah Taala[77];
قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ
لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ قُلْ هِيَ لِلَّذِينَ آمَنُوا فِي
الْحَيَاةِ الدُّنْيَا خَالِصَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَذَلِكَ نُفَصِّلُ الآيَاتِ
لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ
Maksudnya: Katakanlah (Wahai Muhammad): "Siapakah yang (berani)
mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya,
dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang
dikurniakanNya?" katakanlah: "Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat)
untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) Dalam kehidupan
dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman
sahaja) pada hari kiamat". Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan
Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui.
Sabda Nabi sebagaimana at-Tobrani meriwayatkan di dalam al-Mu’jam al-Kabir;
عَنِ ابْنِ عُمَرَ , قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ J:إِنَّ
مِنْ كَرَامَةِ الْمُؤْمِنِ عَلَى اللَّهِ نَقَاءَ ثَوْبِهِ , وَرِضَاهُ
بِالْيَسِيرِ.
Maksudnya: Daripada Ibnu Umar berkata. Bersabda Nabi J: Sesungguhnya di antara
kemuliaan Mukmin kepada Allah (tanda memuliakan Allah), bersih pakaiannya dan
redho dengan yang sedikit.
Pesanan baginda kepada sekelompok daripada sahabat di dalam hadis sahih yang
diriwayatkan oleh Abu Daud, Ahmad, Hakim dan Baihaqi;
إِنَّكُمْ قَادِمُونَ عَلَى إِخْوَانِكُمْ فَأَصْلِحُوا
رِحَالَكُمْ وَأَصْلِحُوا لِبَاسَكُمْ حَتَّى تَكُونُوا كَأَنَّكُمْ شَامَةٌ فِي
النَّاسِ فَإِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْفُحْشَ وَلَا التَّفَحُّشَ
Maksudnya: Sesungguhnya akan kamu masuk bertemu saudara kamu, maka indahkan
kenderaan kamu, elokkan pakaian kamu sehingga kamu seperti tahi lalat (jelas
terlihat) di hadapan orang ramai. Sesungguhnya Allah tidak menyukai dosa-dosa
pada perbuatan dan perkataan dan sengaja melakukan dosa.
Maka daripada ini, segala sesuatu yang menjadikan seorang mukmin atau mukminah
di dalam sebaik-baik sifat, sebaik-baik keadaan, waras pemikirannya, murni dan
indah akhlak dan peribadinya merupakan tanda dan cara untuk memuliakan Allah
Taala.
Produk kecantikan & Kosmetik daripada lintah
Terdapat kosmetik dan alat kecantikan yang menggunakan Hirudin (bahan dalam
saliva lintah). Hirudin ini kebanyakannya terkandung di dalam losen kulit.
Namun, selalunya losen ini adalah untuk penggunaan klinikal, bukan sekadar
losen kecantikan. Losen ini bertindak membaiki kulit lebih-lebih lagi selepas
pembedahan atau kemalangan. Disebabkan kehebatan bahan dari lintah pada reaksi
kulit, kebanyakan kosmetik dihasilkan adalah untuk PENJAGAAN KULIT.
Bahan yang terkandung di dalam lintah yang boleh digunakan sebagai alat
kecantikan dan kosmetik;
1) Have humidifying properties;(melembapkan kulit)
2) Soften skin;(melembutkan kulit)
3) Increase elasticity of skin;(meningkatkan keanjalan kulit)
4) Reduce depth of wrinkles;(mengurangkan kedutan)
5) Reduce sensitivity of skin to external factors (protective properties);
(mengurangkan sensitiviti kulit)
6) Supply skin and saturate it necessary BAS;(bekalan bahan semula jadi kulit)
7) Eliminate effect of retraction of skin;(Mengelakkan rekahan kulit)
8) Eliminate a greasy brightness of skin;(mengelakkan tompokan putih di kulit)
9) Clear skin;(membersihkan kulit)
10) Hinder pigmentation of skin;(mengurangkan pigmentasi)
11) Decelerate aging of skin (anti-age);(anti penuaan)
12) Stimulate exchange of substances in skin;(Meningkatkan kadar pertukaran
bahan biologi kulit)
13) Improve microcirculation of blood in capillary system of skin.(Meningkatkan
kualiti salur darah kulit)
Dari sini membuktikan bahan yang terkandung di dalam lintah sesuai untuk
dijadikan alat solek, kosmetik dan kecantikan.
Hukum Berhias dan bersolek untuk lelaki dan wanita
Sabda baginda di dalam hadis-hadis terlalu banyak yang menuntut lelaki dan
perempuan supaya menghiasi diri dan menjaga tubuh yang dianugerahkan oleh Allah
dengan sebaiknya. Menghiasi diri salah satu corak ibadat yang boleh dilakukan
jika disertai niat kerana Allah. Sabda baginda sebagaimana Aisyah[78]
meriwayatkan;
Maksudnya: Sabda Nabi : Sepuluh perkara daripada fitrah; Memotong misai,
melebatkan janggut (memuliakan rambut), bersiwak, membersihkan lubang hidung,
memotong kuku, membasuh celah-celah jari kaki, mencabut bulu ketiak, mencukur
bulu kemaluan, beristinjak. Berkata Zakaria: Berkata Musa’b: Aku lupa yang
kesepuluh, aku merasakan ia berkumur-kumur.
Pada riwayat lain ada disebutkan berkhatan, berwangian, inai uban, bercelak dan
berkahwin.
Juga terdapat hadis-hadis yang lain berkenaan wanita memakai sutera dan alak
perhiasan seumpama gelang, rantai dan subang dan lelaki memakai cincin.
Sebahagian Ulama mentafsirkan fitrah di sini ialah persediaan untuk menerima
kebenaran dan melarikan diri daripada kebatilan. Sebagai contoh, seseorang yang
tidak pernah mengenal apa itu oren. Nescaya dia akan merasa senang dan minta
menambah. Begitu juga seseorang yang tidak pernah mengenal rokok. Kali pertama
tercium nescaya terbatuk dan susah bernafas. Jika fitrahnya telah rosak,
nescaya benda yang manis pada manusia yg sempurna tabiinya dirasakan pahit.
Rokok yang menyempitkan dada dirasakan biasa. Percampuran lelaki perempuan yang
melemaskan dirasakan tidak ada masalah. [79]
Juga terdapat hadis-hadis yang melarang perhiasan yang melanggar fitrah dan
tabii normal seorang Muslim. Seumpama memakai rantai, cincin emas dan sutera
bagi lelaki, bertatu bagi lelaki dan wanita dan sebagainya.
Maka daripada hadis ini dapat difahami bahawa berhias dan membersihkan diri
merupakan mukadimah kepada kesempurnaan jasad dan jiwa bagi seorang manusia. Ia
merupakan salah satu gerbang menuju keredhoan Allah.
Perhiasan daripada lintah
Setelah mendapati saliva lintah sangatlah hebat, saintis hendak menggunakannya
dalam banyak bahan ubat dan kosmetik. Malangnya, bukan mudah utk mengekstrak
saliva iti. Oleh itu, mereka telah mencipta bahan yang dipanggil HMI-bahan yang
mirip dgn saliva lintah. Mereka telah mengkaji dos yang terbaik yang paling
kurang mendapatkan alahan pada manusia dan kesan yang paling baik yang boleh
diberikan oleh dos.
Oleh itu,boleh disimpulkan, dalam bahan kosmetik ada yang mengandungi ekstrak
saliva lintah dan ada juga yg berasaskan bahan kimia yang dicipta menyerupai
ciri-ciri kimia saliva lintah(HMI) kerana kurangkan bekalan lintah dan proses
yang menelan belanja yang besar.
Bahan kosmetik yang diperbuat daripada lintah yang pernah dihasilkan adalah
seperti pelembap bibir, lembapan badan, skin masker form, veil for hair
streghthen, krim bawah mata, tonik pencuci, losen badan, minyak sapuan kulit,
tonik kulit, tonik rambut dan mosturizer muka.
Daripada segala perbahasan yang lalu, penggunaan lintah di dalam kosmetik dan
kecantikan ada kaitannya dengan penggunaan lintah di dalam perubatan. Sila
rujuk pada perbahasan yang lalu. Walaupun begitu penggunaan lintah demi tujuan
kosmetik semata-mata tidak menjadi halangan pada pandangan syarak. Allahu A’lam
Kesimpulan Perbahasan
1) Syarak menggesa ke arah perhiasan bagi lelaki dan wanita
2) Harus menggunakan lintah di dalam kosmetik dan alat solek
Logged


- Posts:
14508
- Anniversary
Ke 30
·
Rujukan
1) Tahzib al-Asma’ wa al-Luqhat. Imam Faqih Hafiz Abu Zakaria Muhyiddin bin
Syaraf an-Nawawi. Cetakan Dar an-Nafais. Tahqiq Syeikh Ali Muhammad Mua’wwad
dan Syiekh Adil Ahmad Abdul Maujud. Cetakan pertama 1426 H – 2005 M
2) Hayah al-Hayawan al-Kubra. Syeikh Kamaluddin ad-Dumairi. Cetakan Darul
Makrifah, beirut. Cetakan pertama 1427 H – 2006 M.
3) Raddul Muhtar a’la ad-Durri al-Mukhtar Hasyiah Ibn Abidin. Muhammad Amin bin
Umar Abidin. Cetakan khas Dar A’lim Al-Kutub 1423 H – 2003 M
4) Lisan al-Arab. Ibn Manzur. Cetakan Dar al-Ma’rif
5) Hawasyai Syeikh Abd Hamid as-Syarwani wa Syeikh Ahmad bin Qasim al-Abadi
a’la tuhfah al-Muhtaj. Cetakan Darul Fikr 1418 H – 1997 M
6) Nihayah al-Muhtaj Ila Syar hal-Minhaj. Imam ar-Ramli al-Masri al-Ansari.
Cetakan Dar Ihya’ at-Turath al-Arabi Beirut. Cetakan Pertama 1426 H – 2005 M.
7) Bijairimi a’la al-Khatib. Cetakan pertama Darul Fikr 1419 H – 1998 M.
8) Al-Mughni oleh Abdullah bin Ahmad bin Muhamad bin Qudamah al-Maqdisi (620H).
Cetakan Darul Hadis 1425 H – 2004 M. Tahkik: Dr Muhammad Syarafudin Khattab dan
Dr as-Sayid Muhammad as-Sayid
9) As-Syarh al-Kabir oleh Abd Rahman bin Muhammad bin Ahmad bin Qudamah
al-Maqdisi (682 H). Cetakan Dar A’lim al-Kutub. Cetakan kedua 1426 H – 2005 M.
Tahkik: Dr Abdullah bin Abd Muhsin at-Turki
10) Fiqh al-Qadaya at-Tibbiyah al-Muasarah. Karangan Prof Ali Muhyiddin
al-Qarah Daghi dan Prof Ali Yusuf al-Muhammadi. Cetakan Dar al-Basyair cetakan
pertama 1426 H – 2005 M.
11) Jamiul Ulum wa al-Hikam oleh Ibn Rejab al-Hanbali al-Baghdadi ad-Dimasyqi
(795H). Cetakan ketiga Darul Hadis 1418 H – 1997 M.
12) Al-Jami’ li Ahkam Al-Quran oleh Imam Al-Qurthubi. Darul Hadis 1423 H – 2002
M. Tahkik: Muhammad Ibrahim Al-Hifnawi dan Mahmud Hamid Osman.
13) Hasyiah Qalyubi dan Umairah. Cetakan Darul Fikr
14) Fath Al-Bari bi syarah Sahih Al-Bukhari oleh al-Hafiz Ibn Hajar
al-Asqalani. Cetakan Darul al-Qhad al-Arabi
15) Nail al-Author oleh Al-Imam Muhammad bin Ali bin Muhammad as-Shaukani.
Tahkik: Anwar Baz. Cetakan Darul Wafa’. Cetakan Keempat 1429 H – 2008 M
16) Sahih Muslim bi Syarah an-Nawawi. Cetakan Ketiga Darul Hadis 1419 H – 1998
M.
17) Umdah al-Qari syarah Sahih al-Bukhari oleh Badruddin al-Aini. Cetakan Darul
Fikr.
18) Fai dal-Qadir oleh Muhammad Abd Rauf al-Manawi. Cetakan Darul Kutub
al-Ilmiah 1422 H - 2001 M.
19) At-Tibb an-Nabawi oleh Ibn Qayyim al-Jauzi. Cetakan Darul Fikr lubnan
20) Mausuah at-Tib An-Nabawi oleh Abu Nuaim al-asfahani. Cetakan pertama dar
Ibn Hazm 1427 H – 2006 M.
21) Al-Mausuah at-Tibbiah al-Fiqhiyyah karangan Dr Ahmad Muhammad Kana’n.
Cetakan Dar an-Nafais.
22) Hujjah Allah al-Balighah oleh Waliyullah ad-Dahlawi. Cetakan Maktabah Darul
Turath, al-Qaherah.
23) Majalah Syariah wa Dirasat al-Islamiah bilangan 75 tahun 23. Dzulhijjah
1429 H – Disember 2008.
24) Musannaf Ibn Abi Syaibah
25) Al-Muqni’ (المقنع) Oleh Abdullah bin Qudamah al-Maqdisi. Cetakan Dar A’lim
al-Kutub. Cetakan kedua 1426 H – 2005 M. Tahkik: Dr Abdullah bin Abd Muhsin
at-Turki
26) Al-Insof oleh Ali bin Sulaiman al-Mardawi. Cetakan Dar A’lim al-Kutub.
Cetakan kedua 1426 H – 2005 M. Tahkik: Dr Abdullah bin Abd Muhsin at-Turki
27) Mukhtar as-Sihah
[1] Ad-Dumairi. Hayah al-Hayawan al-Kubra (3/221), al-Manawi, Faid al-Qadir
(3/660)
[2] An-Nawawi, Tahzib al-Asma’ wa al-Luqhat (2/311)
[3] An-Nawawi, Tahzib al-Asma’ wa al-Luqhat (2/309), Umdah al-Qari fi syarah
Sahih al-Bukhari (5/453)
[4] Ibn Athir, an-Nihayah fi Qharib al-Hadis wa al-Athar (637)
[5] Ibn Abi Syaibah, Musannaf Ibn Abi Syaibah (5/424)
[6] Kamus Dewan Edisi 4
[7] Kamus Dewan Edisi 4
[8] Pigmen darah yang terbentuk melalui penguraian hemoglobin dan boleh
diturunkan kepada hem.
[9] March 25, 2008-bernama
[10] Kamus Dewan Edisi Keempat. Kata dasar: ternak
[11] Firman Allah surah Al-An’am: 142;
وَمِنَ الأنْعَامِ حَمُولَةً وَفَرْشًا كُلُوا مِمَّا رَزَقَكُمُ اللَّهُ وَلا
تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ
Maksudnya: Dan di antara binatang-binatang ternak itu, ada yang dijadikan untuk
pengangkutan, dan ada yang untuk disembelih. makanlah dari apa yang telah
dikurniakan oleh Allah kepada kamu, dan janganlah kamu menurut jejak langkah
Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.
[12] Yusuf: 12
[13] Qiraat Al-A’la bin Siyabah: Dikasrahkan “ain” dan didomahkan “ba”
[14] Al-Qurthubi, al-Jami’ li Ahkam al-Quran (5/128)
[15] Al-Alusi, Ruh al-Maa’ni pada tafsir ayat tersebut.
[16] Al-Qasas: 23
[17] As-Soffat: 107
[18] Al-Qurthubi, al-Jami’ li Ahkam al-Quran
[19] Hadis no 2262
[20] Al-An’am: 38
[21] Seumpama anjing.
[22] Seumpama burung tiong
[23] Seumpama burung merak atau kucing
[24] Fath al-Bari (9/572)
[25] Nail al-Author (5/155)
[26] Hasyiah Qalyubi & Umairah (4/95)
[27] Al-Maidah: 4
[28] Tafsir al-Khazin
[29] Hadis no 3315
[30] Lihat perbahasan panjang lebar Ibn Hajar, Fathu al-Bari pada hadis no
1826, 1827, 1828, 1829, 1830 dan 1831
[31] Yunus: 26
[32] Al-Baqarah: 195
[33] Ar-Rahman: 60
[34] Al-Qhafir: 64
[35] As-Sajdah: 7
[36] Syua’bul Iman. Hadis no 5080
[37] Lihat tambahan syarahan oleh Imam al-Manawi berkenaan hadis tersebut di
dalam Faidhul al-Qadir
[38] Toha: 81
[39] Ibn Hajar, Al-Matalib al-A’liyah (4/267). Al-Baihaqi, Syua’bul Iman (12/4)
[40] Definisi al-Hasyarat mengikut Ulama Syafieyah. Mughni al-Muhtaj (2/12)
[41] Muwatta’. Kitab al-Aqdiyah
[42] Dibuat tempat tadahan air daripada sungai besar.
[43] Berkata Syeikh ad-Dumairi: Yarbu’: Binatang yang kaki hadapan terlalu
pendek dan kaki belakang panjang serta mempunyai ekor. Warna tubuhnya seperti
kijang. Berkata al-Jahiz dan al-Qizwini: Yarbuk dari spesies tikus. Lihat:
Hayah al-Hayawan al-Kubra (4/594)
[44] Berkata Syeikh ad-Dumairi: Dhob: Haiwan darat seperti biawak benggala.
Dhob tidak minum air dan hidup selama 700 tahun dan lebih. Berkata Abdul Qahir:
Dhob binatang melata kecil yang seumpama anak buaya. Ekor dhob seperti ekor
buaya. Berkata Abu Hanifah: Lidah dhob seperti ular. Mempunyai satu lidah tapi
bercabang dua. (3/117-118)
[45] Durrul al-Mukhtar (7/259)
[46] Cacing/ulat qirmiz digunakan sebagai pewarna. Ia merupakan cacing merah
yang selalu terdapat pada pokok oak pada sesetengah Negara. Mempunyai
cangkerang seumpama siput babi.
Di dalam lisan Arab menyebut: “Ia merupakan pewarna bangsa Armenian berwarna
merah. Ia merupakan perahan cacing di dalam cawan-cawan mereka”.
Apa yang makruf di sisi fuqaha cacing ini dibunuh dengan cara dimatikan di
dalam cawan atau diletakkan cuka ke atasnya sehingga mati. Di sini punca
perselisihan fuqaha sama ada ia bangkai atau tidak.
[47] Muhammad Amin bin Umar Abidin, Hasyiah Ibn Abidin (7/259)
[48]Al-Majmuk (9/241)
[49] Tuhfah al-Muhtaj (4/262), Nihayah al-Muhtaj (3/350)
[50] Syeikh Atiah al-Ajhuri
[51] Hasyiah al-Bujairimi a’la al-Khatib (3/11)
[52] Bintik-bintik perang kehitam-hitaman pada kulit (biasanya pada muka)
kerana kena cahaya matahari, tetua. Kamus Dewan Edisi Keempat.
[53] Al-Mughni (5/629), as-Syarhu al-Kabir (11/28)
[54] Ibn Muflih, Al-Furuk (6/207)
[55] Jamiul Ulum wa al-Hikam (528)
[56] Hirudo merupakan bahasa Latin yang membawa maksud lintah.
[57] Al-Mu’jam al-Kabir li at-Tobrani
[58] Al-Mu’jam al-Kabir At-Tabrani
[59] (الحجامة)/ Cupping: Mengeluarkan darah dari tubuh dengan menoreh kulit.
(الفصادة)/ Phlebotomy: Menoreh urat untuk mengeluarkan darah. Terdapat
perbezaan di antara keduanya.
Berkata Ibn Qayyim: “Keduanya berbeza mengikut masa, tempat, usia dan emosi.
Negara panas, waktu panas dan emosi yang kurang baik iaitu darah tuan tubuh
berada di kemuncak, maka hijamah lebih memberi manfaat daripada fasod...”:
at-Tibb an-Nabawi m/s 39
[60] Sahih Muslim bi Syarah an-Nawawi (7/453)
[61] Umdah Al-Qari (14/670)
[62] Iaitu dengan cara berbaring secara menelentang dan kepala mendongak.
Dititikkan air atau minyak yang terdapat ubat sehingga sampai ke kepala untuk
mengeluarkan penyakit dengan cara bersin.
[63] Iaitu dimasukkan ubat melalui tepi mulut pesakit dengan cara menuangkannya
atau dengan dimasukkan jari dan digosok-gosok. Faedah cara begini sebagaimana
ucapan al-Khattabi:
1) Keadaan pesakit yang tidak mampu makan ubat kecuali dengan cara sebegini.
2) Minum ubat dengan cara sebegitu lebih berjaya, bermanfaat, mudah dan sesuai.
Doktor memerintahkan untuk dibuat sebegitu kerana dia lebih tahu mengenai ubat
mana yang perlu diambil dan cara menggunakannya.
[64] Ibn Athir, an-Nihayah
[65] Al-Baqarah: 172 dan173
[66] Olahan dan adaptasi kembali daripada ucapan Waliyullah ad-Dahlawi di dalam
Hujjah Allah al-Balighah (2/178,179)
[67] Al-Ana’m: 38
[68] Al-A’raf: 157
[69] Al-Maidah: 4
[70] Ad-Dumairi. Hayah al-Hayawan al-Kubra (3/224)
[71] Ibn Taimiyyah, majmuk al-Fatawa
[72] Jika ingin dalil dan hujah yang lebih konkrit sebab ulama mempertahankan
pendapat ini. Sila rujuk kitab Fathu al-Qadir oleh Kamal Humam, Mawahib
al-Jalil, Majmuk al-Fatawa, Al-Muhalla, al-Insof.
[73] Lihat penjelasan Prof Ali Muhyidin al-Qarah dhaqi di dalam Fiqh Qadaya
Tibbiyyah al-muasarah.
[74] Nadwah Fiqhiyyah at-Tibbiyah ke 9 di Yaman.
[75] Kosmetik: Solek (untuk mencantikkan rupa orang perempuan)
Perhiasan: Sesuatu yang digunakan utk berhias atau menghias.
Daripada definisi ini menunjukkan perhiasan memberikan erti yang lebih luas dan
lengkap berbanding alat solek atau kosmetik. Maka perbahasan di sini akan
menjadikan “perhiasan” sebagai paksi.
[76] Mukhtar as-Sihah
[77] Al-A’raf: 32
[78] Sahih Muslim, Tarmidzi, Ahmad, Musannaf Ibn Abi Syaibah, Abu Daud dan
Nasaie.
[79] Lihat: An-Nawawi syarah Muslim dan syarah al-Muwatta’